Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini dihentikan secara mengejut selepas Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd Zubir Embong telah dihujani dengan pelbagai soalan mengenai keputusannya untuk menolak usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.
"Sebab keputusan saya sudah buat, saya mahu tangguhkan dewan hingga esok," kata Mohd Zubir sebelum meninggalkan dewan.
Seorang ADUN pembangkang kemudiannya menyindir tindakan itu.
“Lari begitu sahaja, Yang Dipertua?” sindirnya sambil disambut dengan wakil rakyat pembangkang yang lain.
Mohd Zubir menolak usul itu atas alasan bahawa tiada notis diberikan.
Bekas Menteri Besar Terengganu Ahmad Said yang membentangkan usul itu dan ADUN pembangkang bagaimanapun berhujah bahawa perlembagaan negeri dengan jelas menyatakan bahawa tiada notis diperlukan untuk usul undi tidak percaya.
Di sebalik hujah bahawa perlembagaan Terengganu mengatasi peraturan mesyuarat, speaker menegaskan bahawa tafsirannya adalah bahawa persetujuannya diperlukan untuk mengketepikan notis 14 hari yang diperlukan itu.
Beliau juga menolak dakwaan BN takut untuk berdepan dengan usul undi tidak percaya itu.
“Bukan soal takut, i ni soal peraturan. Saya sebagai orang tengah,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, keputusan berkenaan boleh dirayu.
Hujah Mohd Zubir itu bagaimanapun gagal memuaskan hati ADUN pembangkang yang terus memetik Fasal 33 (11) yang menyatakan bahawa usul di bawah perlembagaan negeri tidak memerlukan sebarang notis.
Di sebalik protes berterusan itu, Mohd Zubir menegaskan bahawa keputusannya adalah muktamad, sebelum menamatkan prosiding hari ini.