Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Gerakan Selamatkan Malaysia telah berjaya menarik perhatian rakyat negara ini - jika tidak pun sebahagian warga dunia - kepada kempen mereka untuk menggantikan Datuk Seri Najib Razak.

Jika sebelum ini ada antara mereka dilihat seolah-olah seteru abadi, Najib telah menjadi 'faktor penyatu' kepada pelbagai kelompok atau individu yang bermusuh di pentas politik pra-skandal 1MDB.

Di deretan meja panjang semalam ada Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai watak utama. Di sebelahnya adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin. Di hujung kiri dan kanan meja itulah yang lebih menarik. Ada Mohamad Sabu, Lim Kit Siang, Datuk S Ambiga dan Maria Chin Abdullah.

Berbanding Ambiga dan Maria, Mohamad dan Lim adalah tokoh yang dilihat sentiasa 'menjaga hubungan tegang' mereka dengan Dr Mahathir.

Suatu ketika dulu pertengkaran antara Dr Mahathir dan Mohamad (ketika itu masih menjadi ayam tambatan PAS) berjaya menghiburkan hidup sebahagian besar rakyat Malaysia.

Hubungan Dr Mahathir dengan Lim pula kekal panas dengan pelbagai isu atau topik sehinggalah akhir-akhir ini.

Semalam di majlis itu deklarasi dibaca, tangan ditepuk, soalan ditanya, penjelasan diberi. Kebanyakan penyokong pembangkang dan kumpulan anti-Najib ternyata gembira benar dengan perkembangan itu.

Ia boleh dianggap sebagai kepada gabungan lengkap untuk melihat perubahan di Malaysia. Seniman? Siapa perlukan budayawan, seniman atau sasterawan (BSS), kan?

Ketika parti politik (atau orang kuat parti politik yang berkata hadir atas kapasiti peribadi, tidak mewakili parti) dan pertubuhan bukan kerajaan dikumpulkan dalam wadah sama, kelompok budayawan, seniman atau sasterawan seperti tidak penting langsung.

Misalnya, Sasterawan Negara (SN) Datuk A Samad Said, atau SN lain yang masih ada. Biarkan mereka terus bergelut dengan aksara dan memerah otak menyusun rima pada bait-bait sajak kerana yang faham dan merasai keperitan semasa cuma ahli politik.

Tambahan pula tidak semua kelompok BSS itu berasa perlu untuk mengambil tahu hal-hal politik negara.

Selain bernostalgia tentang zaman remaja sebagai contoh, mungkin ada yang berasakan bahawa menjaga kabel dengan orang berjawatan untuk mendapat projek jauh lebih utama daripada berpanas atau berpeluh bersama-sama rakyat.

Justeru sangat sesuai jika kumpulan BSS itu hanya kita perlukan pada ketika tertentu saja. Misalnya ketika ahli politik berada dalam situasi cul de sac.

Sebahagian daripada tokoh yang berada di kerusi utama ketika deklarasi semalam diucapkan pernah bersajak - atau sekurang-kurangnya cuba bersajak.

Dr Mahathir masih dikenang dengan sajak Melayu Mudah Lupa dan Mukhriz pula pernah berlagu Tak Seindah Wajah ketika merasmikan mesyuarat Umno di Subang.

Mungkin jika gerakan Selamatkan Malaysia selepas ini gagal mencapai matlamatnya, kita berpeluang pula melihat Lim atau Tun Dr Ling Liong Sik berada di atas pentas sama untuk bersajak dengan Mohamad.

Dan ketika itu mungkin juga boleh kita lihat Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berduet dengan Datuk Seri Liow Tiong Lai serta Datuk Seri Dr S Subramaniam bersyair pula.

Suasana tentu akan menjadi lebih lengkap dan indah jika majlis itu dimulakan dengan bacaan doa selamat atau tazkirah oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum Nasrudin Hasan bersama Nik Abduh Nik Abdul Aziz muncul membacakan sajak masing-masing.

Malaysia dilihat seperti tidak perlukan golongan BSS ini pada kebanyakan masa. Kita hanya perlukan mereka ketika emosi semakin memberat dan selepas segala-gala ikhtiar dilaksanakan tetapi gagal mendapat hasil yang diharapkan.

Atau lebih baik lagi, jika gerakan Selamatkan Malaysia ditakdirkan gagal dan tiada jalan lain terbentang di depan, barulah sesuai untuk mereka mengadakan majlis baca puisi - misalnya - di depan Sogo atau Dataran Merdeka.

Apakah kita harus meneruskan kebiasaan untuk mengabaikan kumpulan BSS ini ketika keadaan biasa dan hanya terkenang kepada mereka apabila 'terperangkap' dalam situasi luar biasa.

Sementara itu cukuplah dengan mewujudkan Kota Seni di Petaling Jaya seperti diumumkan oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2016 pada Oktober tahun lalu.

Inilah Malaysia yang kita rasa amat dirahmati.


AL-ABROR MOHD YUSUF adalah warga Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS