Tun Dr Mahathir Mohamad mahu hadir dalam himpunan 27 Mac ini bagi menggulingkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hanya kerana malu dan dendam kerana anaknya digugurkan sebagai menteri besar Kedah.
Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Nazri Aziz mendakwa tindakan Mahathir itu hanya ingin membangkitkan kemarahan rakyat kerana tiada bantahan mana-mana pihak mengenai pemecatan Datuk Seri Mukhriz Mahathir ( gambar ).
“Kamu kena ingat, Mahathir ini pendendam. Dia malu anak dia tak sampai sepenggal hilang jawatan menteri besar. Itu memalukan keluarga dia dan tidak ada sesiapa nak demo (bantah).
“Jadi (dia) turut demo untuk balas dendam pada Najib.
“Pada saya (Mahathir) hanya nak buat orang marah,” katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini dan sebuah lagi portal di sebuah hotel di Kuala Lumpur semalam.
Dr Mahathir sebelum ini berkata beliau tiada pilihan lain selain turun berhimpun pada 27 Mac ini kerana saluran lain bagi menyuarakan bantahan terhadap kerajaan sudah disekat.
Perkara tersebut memaksanya menyertai perhimpunan yang tidak dipersetujui dan ditentangnya semasa menjadi perdana menteri.
Mengulas lanjut, Nazri berkata, ketika Dr Mahathir menjawat jawatan perdana menteri, beliau menghalang mana-mana pihak untuk berdemonstrasi.
'Pergilah, asal ikut peraturan'
Bagaimanapun, kini Dr Mahathir mungkin mengakui bahawa beliau telah membuat satu kesilapan yang besar menyebabkan beliau bertindak sebaliknya.
“Waktu dia jadi perdana menteri, dia tak bagi demo. Tetapi sekarang dia nampak dia buat silap besar (dengan berdemonstrasi).
“Sekarang dia nak baling batu dekat gelas pun gelas tidak pecah,” kata Nazri, menyindir bekas perdana menteri keempat yang sudah berusia 90 tahun.
Nazri bagaimanapun tidak menghalang Dr Mahathir untuk turun pada perhimpunan berkenaan asalkan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.
“Pergilah, asalkan ikut peraturan.
“Saya yang buat undang-undang kerana saya menteri pada waktu itu,” kata bekas menteri undang-undang itu.
Beliau meramalkan demonstrasi itu tidak berjaya.
Himpunan pada penghujung bulan depan itu dianjurkan oleh bekas menteri Umno Datuk Zaid Ibrahim. Ia dirancang secara tertutup dan mensasarkan penyertaan 1,000 anggota.
Maklumat lanjut belum didedahkan setakat ini.
Mahathir sebelum ini telah membuat kejutan dengan hadir ke perhimpunan BERSIH ( gambar ) tahun lalu bagi mendesak pengunduran Najib.