Sekatan kerajaan terhadap portal berita The Malaysian Insider betujuan menyembunyikan kebenaran, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Ini untuk lindungan apa mereka (kerajaan) buat, untuk sembunyi apa yang mereka buat,” katanya.
Kerajaan juga, dakwa Mahathir, tidak mahu rakyatnya tahu apa yang berlaku dalam negara ini.
Bercakap kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini, Mahathir berkata Malaysia kini menuju ke arah negara diktator seperti Korea Utara.
Katanya, di negara ini, orang ramai kini bimbang diheret ke mahkamah atau dipenjarakan jika mengeluarkan kenyataan yang tidak menyebelahi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
“Mungkin tidak terlalu ekstrem tetapi orang ramai takut jika kata atau buat sesuatu terhadap Najib, kamu akan ditangkap, dipenjara atau didakwa di mahkamah,” katanya.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) semalam menyekat TMI kerana didakwa melanggar peruntukan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998
Seksyen 233 berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Ia berkaitan kandungan lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain.
Suruhanjaya itu tidak menyatakan dengan jelas tulisan yang mendorong sekatan itu dibuat.
Bagaimanapun, polis akan menyiasat laporannya mengenai syor yang dikatakan dibuat Panel Penilaian Operasi (PPO) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pengerusi panel itu Hamid Bugo malam tadi menafikan pihaknya percaya terdapat bukti cukup untuk mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam kes kemasukan wang RM2.6 bilion ke dalam akaunnya serta siasatan kes SRC International.