Kerajaan hari ini mengumumkan penangguhan pengambilan pekerja asing dari semua negara sumber sehingga kerajaan berpuas hati terhadap keperluan sebenar tenaga kerja oleh pihak industri.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata penangguhan itu juga bagi membolehkan kerajaan meneliti semula keputusan berkaitan pembayaran levi dua kategori.
Beliau berkata kerajaan juga akan memberi tumpuan kepada program penggajian semula di samping meningkatkan penguatkuasaan supaya tidak ada pekerja asing baharu dibawa masuk ke dalam negara.
"Pekerja asing yang tidak ada dokumen atau tinggal lebih dari tempoh dibenarkan, mereka akan ditangkap (dan) dihantar pulang ke negara asal," katanya semasa mengumumkan perkara itu pada majlis ramah mesra bersama anggota tentera di Kem Muara Tuang, di Kota Samarahan hari ini.
Menurutnya selaras dengan hasrat itu, tindakan penguatkuasaan akan ditingkatkan secara besar-besaran dalam negara.
Ahmad Zahid berkata adalah diharapkan rakyat khususnya kumpulan belia akan menyahut seruan kerajaan untuk mengambil alih tempat pekerja asing dan menjadi sumber tenaga kerja utama negara untuk melengkapkan pembangunan ekonomi negara.
"Penangguhan ini akan berjalan sehingga kerajaan berpuas hati terhadap keperluan sebenar sebagaimana yang dikehendaki pihak industri," katanya.
Lebih 1,000 anggota tentera menghadiri program ramah mesra itu, yang merupakan program pertama Ahmad Zahid dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Sarawak bermula hari ini.
Esok, Timbalan Perdana Menteri dijangka menghadiri majlis bersempena sambutan Hari Penjara di Padang Merdeka, Kuching, sebelum mengakhiri lawatan.
- Bernama