Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MTUC himpun bantah pengambilan 1.5 juta pekerja Bangladesh

Kira-kira 50 ahli Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini berkumpul di luar pintu utama Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia untuk menyuarakan bantahan terhadap rancangan kerajaan mengambil masuk 1.5 juta pekerja dari Bangladesh.

Bagaimanapun kehadiran mereka di pintu utama pada pukul 10.30 pagi bagi menyerahkan memorandum bantahan kepada kedua-dua kementerian itu dihalang oleh kakitangan keselamatan dan pegawai kementerian.

Ini menyebabkan ahli-ahli MTUC itu menukar rancangan dengan berhimpun di luar kementerian.

Pemangku Presiden MTUC Abdullah Sani Abdul Hamid ketika ditemui wartawan secara sinis menyindir bahawa rakyat asing dibenar masuk tetapi rakyat negara ini pula dihalang.

“Kalau kita Bangladesh, mereka mesti jumpa kita.

"Ini adalah pertama kali kita dihalang untuk masuk ke premis kementerian, ini amat memalukan kerana hak kita sebagai rakyat tidak diiktiraf.

“Kita berpiket di luar kawasan kementerian, kita ada placards dan poster,” kata Abdul Sani.

Bantahan itu kemudian diteruskan dengan laungan “hidup pekerja” dan poster di tangan yang tertera tulisan “hentikan pengambilan 1.5 juta pekerja Bangladesh”, “utamakan pekerja tempatan” dan “Pekerja Bangla disusukan pekerja tempatan mati kelaparan”.

Selepas 15 minit berlalu, wakil dari kementerian dalam negeri dan kementerian sumber manusia keluar menerima memo mereka.

Suruhanjaya Diraja

Selain meminta kerajaan menghentikan rancangan pengambilan pekerja asing, MTUC juga mahu kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja Siasatan Pekerja Asing.

"Kemasukan pekerja asing yang banyak ini akan memudaratkan generasi akan datang.

"Kami akan pastikan hak pekerja tempatan dijaga hak termasuklah dalam perjanjian TPPA," kata Abdul Sani.

Menurutnya, satu mesyuarat Majlis Am akan diadakan untuk menentukan langkah seterusnya.

"Ini bukan langkah pengakhir MTUC, kami tidak akan kompromi dengan pengkhianat pekerja," katanya.

Menteri dalam Negeri Ahmad Zahid dilapor sebagai berkata, kerajaan bercadang membawa masuk 1.5 juta pekerja asing dari Bangladesh dan proses ini kini dibuat secara berperingkat berdasarkan permintaan pasaran dan bukan sekaligus.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS