Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

MCA akan menghantar pasukan yang mempunyai kepakaran 'siber' ke Sarawak bagi membantu menjawab tohmahan dan fitnah dilemparkan parti pembangkang terhadap kerajaan negeri menerusi media sosial.

Setiausaha Agungnya Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata usaha itu bagi membantu parti komponen Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi pilihan raya negeri Sarawak ke-11. Penggal Dewan Undangan Negeri Sarawak berakhir pada Jun ini.

"Masyarakat sekarang sudah berubah kepada arena siber, media sosial. Kami akan hantar orang yang mahir dalam perang siber.

"Saya rasa dari segi media sosial, harus beri keutamaan sebab sekarang orang dah tak hadiri ceramah, tak baca surat khabar. Maklumat disebarkan melalui media sosial," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Dewan Peringatan Father Sumangalo Persatuan Buddha Pulau Pinang, di George Town hari ini.

Dalam pada itu, beliau yakin keperibadian dan perwatakan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem mampu mengekalkan kedudukan BN di negeri itu sekaligus akan membawa lebih banyak perubahan dan pembangunan kepada rakyat.

Ong yang juga Pengerusi Perhubungan MCA Pulau Pinang berkata Adenan adalah seorang pemimpin yang terbuka, jujur dan ikhlas dalam membawa Sarawak ke arah negeri yang lebih maju dan harmoni.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS