Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Cadangan Malaysia membawa masuk kira-kira 1.5 juta pekerja Bangladesh mungkin memberi kesan besar, termasuk merubah pola populasi negara, kata penganalisis politik Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani.

“Saya rasa 1.5 juta pekerja itu ramai sangat sebab yang datang nanti mesti ada bawa bersama keluarga. Justeru realitinya jumlah yang datang adalah lebih ramai.

‘Walaupun ada permintaan pasaran, tapi ia juga memberi implikasi sosial, ekonomi tempatan dan keselamatan. Kedatangan mereka akan menyebabkan populasi negara berubah,” kata Azizuddin kepada Malaysiakini .

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Jun tahun lepas mengumumkan seramai 1.5 juta pekerja Bangladesh akan dibawa masuk ke Malaysia bagi memenuhi permintaan majikan daripada pelbagai sektor.

Mengulas lanjut, Azizuddin ( gambar ) mempersoalkan ke mana dan apakah jenis pekerjaan yang memerlukan pekerja asing dalam jumlah yang begitu besar di negara ini.

“Kalau mereka datang hanya sementara, untuk beberapa tahun dan dihantar pulang selepas tamat kontrak, mungkin ada rasionalnya.

“Cuma kerja apa yang mereka akan lakukan sehingga memerlukan jutaan mereka datang?” soal Azizuddin.

Kemasukan dipantau

Malah, pensyarah politik Universiti Utara Malaysia (UUM) itu berharap tidak berlaku konflik antara kaum sekiranya warga Bangladesh ini ditempatkan di Sabah dan Sarawak.

“Katanya akan ditempatkan di Sabah dan Sarawak. Harap konflik kaum tidak berlaku seperti konflik orang Dayak dan Madura yang saling berbunuhan di Kalimantan, Indonesia.

“Diharapkan satu kajian risiko dilakukan sebelum membawa mereka ke sini,” katanya.

Putrajaya semalam mempertahankan tindakannya membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh ke Malaysia dalam tempoh tiga tahun.

Ahmad Zahid dilapor sebagai berkata, kemasukan pekerja itu dibuat secara berperingkat berdasarkan permintaan pasaran dan bukan sekaligus.

Ahmad Zahid yang juga menteri dalam negeri turut menidakkan kritikan beberapa pihak yang menganggap kerajaan cuba mengambil untung daripada levi yang dikenakan ke atas pekerja terbabit.

Kementerian Dalam Negeri pula menegaskan tiada angka mutlak bagi kemasukan pekerja Bangladesh ke negara ini kerana ia bergantung kepada keperluan sebenar majikan semasa permohonan dibuat.

Kementerian itu dalam kenyataan semalam berkata jumlah kemasukan pekerja Bangladesh ke negara ini juga akan dinilai berdasarkan kelayakan serta kemampuan setiap majikan mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan.

Pada masa sama, kemasukan pekerja asing ini akan dipantau kerajaan melalui Agensi Kawal Selia bagi mengelakkan berlakunya kebanjiran pekerja asing dalam negara dan memastikan hanya pekerja asing yang layak saja dibenarkan bekerja di Malaysia.

Menurut kementerian berkenaan, angka 1.5 juta pekerja Bangladesh yang mendapat liputan luas media sebenarnya merupakan jumlah warga Bangladesh yang berdaftar dengan kerajaan negara itu untuk tujuan pekerjaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS