Sebaik saja hari kegelapan menyelimuti kota raya dan pintu kedai tekstil Alka Ria di tepi Jalan Tuanku Abdul Rahman diturunkan, kawasan kaki lima di situ mulai didatangi ramai ibu.
Seorang daripada mereka ialah Nori - atau nama sebenarnya Norisumaliza.
Seperti ibu lain, Nori, 33, membawa anak-anaknya ke kaki lima itu. Dia duduk di atas laluan pejalan kaki berhampiran pagar besi tepi jalan dengan berlapikkan tikar dan kain sambil menunggu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) datang mengagihkan makanan.
Kebetulan hari itu Ahad. Nori ( gambar ) membiarkan anak-anaknya pergi ke lorong belakang untuk menyertai Tusyen Jalanan yang dikendalikan aktivis Benz Ali dan kawan-kawannya.
Seketika kemudian bangkit dan bersama beberapa wanita lain mereka menyeberangi Jalan Tuanku Abdul Rahman yang jarang sunyi di tengah Kuala Lumpur ini.
Mereka bergerak ke Medan Tuanku yang terletak kira-kira 400 meter dari situ. Tujuan mereka ialah mendapatkan nasi lemak yang diedarkan percuma oleh pertubuhan kebajikan.
Kira-kira 10 minit kemudian bungkusan nasi lemak itu sudah ada dalam tangan mereka.
Setiap malam, selalunya ada pelbagai NGO dan badan amal mengedar makanan atau barangan keperluan di kaki lima Alka Ria. Justeru ramai orang dewasa dan kanak-kanak berkumpul di situ tepat pukul 9 malam untuk menunggu edaran percuma itu.
Mereka bukan pengemis atau gelandangan. Mreka adalah keluarga miskin kota yang tinggal di sekitar Chow Kit.
Beratur tanpa disuruh
Pendapatan bulanan keluarga miskin kota - terdiri daripada orang tempatan dan warga asing - biasanya hanya antara RM1,000 hingga RM1500.
Kebanyakannya adalah golongan ibu yang membawa bersama anak masing-masing, seperti Nori.
Nori bersama lima anaknya tinggal di sebuah rumah papan tidak jauh di arah belakang Alka Ria. Rumah papan usang itu terselindung di belakang sebuah bangunan bertingkat sebuah kolej.
Mencari rezeki bandar raya sebenar Kuala Lumpur memang tidak pernah mudah. Justeru keluarga miskin kota itu terpaksa bergantung kepada makanan dan barangan agihan NGO dan badan amal untuk meringankan beban perbelanjaan mereka.
Kira-kira 9.15 malam beberapa orang anak muda - lelaki dan perempuan - mula sibuk memunggah keluar beberapa kotak roti dan botol air mineral.
Kesibukan itu bagaikan suis ghaib untuk wanita dan anak-anak mereka segera berbaris untuk menunggu giliran diberikan dua buku roti dan sebotol air mineral kepada setiap seorang.
Dalam tempoh beberapa minit saja makanan itu habis diagih-agihkan.
Aktivis terbabit kemudian mengeluarkan pakaian dan kasut lalu meletakkan di atas kaki lima. Ibu-ibu itu berbaris lagi.
Namun, tidak seperti makanan tadi, pemuda pemudi itu meninggalkan pakaian dan kasut itu di kaki lima begitu saja.
Melihat keadaan itu, salah seorang wanita di situ menjadi pengagih tanpa diarah sesiapa. Dia menyusun pakaian dan kasut di atas lantai dengan kemas sambil bertanya jika ada mana-mana wanita senasibnya perlukan pakaian itu.
Kumpulan wanita tersebut kemudian membelek-belek barangan itu mencari yang sesuai dengan keperluan anak masing-masing.
Lampin kadang-kadang tak perlu
Senario seperti itu selalunya boleh dilihat di Chow Kit pada lewat malam. Pelbagai NGO akan datang mengedar makanan dan barangan secara santai dan berlalu.
Malah sesetengah daripada mereka hanya datang meletakkan barangan lalu meninggalkan tempat itu dan membiarkan golongan miskin kota itu memilih sendiri keperluan mereka.
Menyaksikan kaedah bantuan begitu, pengasas Buku Jalanan Chow Kit Benz Ali mempersoalkannya sama ada ia benar-benar membantu keluarga miskin kota dalam jangka masa panjang atau sekadar penyelesaian sementara.
Semasa sesi Buku Jalanan Chow Kit berlangsung, Benz sempat berbual dengan wanita kurang bernasib baik itu. Daripada perbuatan berkenaan dia tahu keluarga miskin kota sering memerlukan lampin bayi, susu dan lain barang keperluan seumpamanya.
Lalu Benz membuat keputusan untuk turut membantu mereka, tetapi dengan cara yang berbeza.
Sebagai langkah pertama, Benz berpindah 'masuk ke alam Chow Kit' dengan menyewa satu bilik kecil di bangunan rumah kedai empat tingkat di Jalan Chow Kit Kiri.
"Pandangan saya begini - kalau kamu nak ubah keadaan sesuatu tempat, kamu tak boleh jauh dari tempat itu. Kamu kena menjadi sebahagian daripada kawasan itu barulah boleh bertindak dengan lebih berkesan.
"Macam boleh seseorang mengubah keadaan di Chow Kit jika dia sendiri tinggal Bangi? Itu tak relevan.
"Kenapa kamu tak pergi saja Kajang? Kajang dan Semenyih lagi banyak orang miskin," katanya.
Ajar amanah, ikhlas
Benz mula mengagihkan barang bantuan kepada keluarga miskin kota selepas empat bulan Buku Jalanan Chow Kit diadakan. Aktiviti itu dijalankan pada malam Ahad, serentak dengan kelas Tusyen Jalanan.
Dia juga yakin data keluarga miskin kota perlu dikumpulkan supaya keperluan sebenar kumpulan sasaran itu dapat dikenal pasti.
Oleh itu, perkara pertama dilakukan Benz selepas berpindah ke Chow Kit adalah mendekati ibu-ibu miskin untuk mengumpul data mereka.
"Kadang-kala, kalau kamu bagi lampin bayi atau kasut sekolah ia mungkin tidak membawa makna jika wanita itu tidak ada anak kecil atau anak bersekolah.
"Dia kemudian menjual lampin dan kasut sekolah itu untuk mendapatkan wang," katanya.
Maka Benz dan aktivis memilih kaedah lain. Membungkus semula beras - seberat 1.5 kilogram setiap satu - untuk diagih-agihkan kepada golongan berkenaan.
Dengan cara itu, kata Benz, dia yakin tidak ada wanita yang menjual beras berkenaan.
Selepas beberapa ketika barulah Benz berjaya 'memikat hati' ibu-ibu miskin kota itu.
Selain Ahad malam, beliau akan pergi ke kaki lima di depan Alka Ria pada hari lain untuk berbual-bual dengan mereka.
"Kamu tak boleh ambil data macam pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat. Jangan tanya dulu dia duduk di mana atau kerja apa sebab jika wanita itu pekerja seksual (bahasa lain untuk pelacur), dia tidak akan cerita kisah hidupnya.
"Mereka masih ada rasa malu dan maruah," katanya.
Cerita Benz, ketika dia memulakan Tusyen Jalanan pada Ogos lalu dia langsung tidak bertanya apa-apa mengenai latar belakang wanita terbabit atau anak mereka.
Hanya pada Disember lalu wanita tersebut mula memberi lebih kepercayaan dan mahu menunjukkan kad pengenalan atau pasport masing-masing.
Benz turut mengunjungi rumah keluarga miskin kota untuk memahami keadaan kehidupan mereka dengan lebih dekat.
Setakat ini dia sudah mengumpul data antara 60 hingga 70 keluarga dan menjadi maklumat penting untuknya mengagihkan bantuan.
Selain mengumpul data, Benz juga melaksanakan cara agihan yang unik.
Bersama bungkusan beras 1.5 kilogram itu dia menyertaian satu tin sardin kepada wanita yang dibahagikannya kepada kumpulan A dan kumpulan B.
"Minggu ini saya bantu kumpulan A, minggu depan kumpulan B pula. Jadi dalam sebulan seorang ibu hanya dapat 3 kilogram beras dan dua tin sardin.
"Dengan cara ini saya dapat memupuk sikap amanah, tidak tamak dan tidak terlalu bergantung," kata Benz.
Benz mengumpulkan beras dan tin sardin dengan bantuan orang ramai melalui Institut Memali - satu NGO tidak rasmi yang diuruskannya.
Antara individu yang sering menghulur sumbangan, kata Benz, ialah penderma yang dikenali sebagai Hafiz, Izzah dan Toh.
Setiap kali sesi Tusyen Jalanan berjalan, di pertengahan sesi Benz akan mengeluarkan buku nota lalu memanggil nama ibu-ibu untuk mengambil barang keperluan.
Malam itu adalah giliran kumpulan A.
"Kamu tak boleh minta mereka berhenti bergantung sama sekali kerana hakikatnya orang yang tak sukakan kerajaan pun gembira terima BRIM (Bantuan Rakyat 1Malaysia).
"Mentaliti meminta masyarakat kita memang kuat, orang yang tak perlu bantuan pun akan minta bantuan," jelas Benz.
Sejurus sebelum Benz meninggalkan lorong belakang selepas selesai mengagih beras dan tin sardin, beberapa buah kereta tiba.
Kira-kira lima hingga enam pemuda turun dari kereta untuk mengagih barang bantuan. Ia adalah bantuan keempat yang sampai di kawasan itu pada malam itu.
"Sebelum ini, semasa kami beri beras, mereka banyak bergaduh," kata Benz.
Puncanya keluarga miskin kota bertelagah mempertikaikan giliran yang wajar mendapat bantuan.
Pada suatu hari, kata Benz, seorang wanita memberitahunya: "Cikgu Benz kami tak perlukan lampin sebab kami tak ada anak. Kami perlu beras saja".
Dalam kejadian lain, cerita Benz, ada wanita yang menolak bantuan dengan baik yang diberikan. Alasannya, dia sudah mendapat bantuan itu pada minggu sebelumnya.
"Jadi sekarang mereka sudah belajar amanah dan ikhlas. Ini semua boleh dilakukan cuma perlu kepada masa dan tidak boleh dipaksa," kata Benz.
Namun, Benz juga faham, memberi bantuan sahaja bukan cara terbaik untuk mengubah keadaan keluarga miskin kota. Untuk itu, Benz sudah ada rancangan baru.
Berkebun dalam KL
Dia merancang menubuhkan pusat operasi - pada tahun depan - supaya ibu-ibu miskin kota itu ada peluang bekerja. Menumbuk kopi, misalnya.
"Kami akan minta ibu-ibu datang ke pusat operasi dan tumbuk kopi selama satu atau dua jam. Kemudian kami akan jual serbuk kopi itu untuk beli barang keperluan mereka.
"Ini antara rancangan kami agar ibu-ibu miskin kota faham mereka tak boleh bergantung kepada orang lain selama-lamanya," kata Benz.
Benz malah pernah terfikir, kalau ada orang sanggup memberi tanah, beliau akan membiarkan keluarga miskin kota bercucuk tanam di bandar raya Kuala Lumpur.
Benz dan kawan-kawannya faham benar perbezaan konsep "memberi ikan" dengan "memberi pancing" kepada golongan sasaran.
Sejak saat berpindah masuk Chow Kit, Benz membuat keputusan untuk tinggal di situ selama 10 tahun.
"Kamu pernah tengok orang selesai bayar hutang ah long?" tanya Benz.
Ia merujuk kepada kebanyakan orang susah yang terperangkap dalam kitaran hutang pemberi pinjaman wang - berlesen atau tidak.
Kata Benz, lama-kelamaan sesebuah keluarga mungkin berasa buntu dengan kepungan ah long dan mengambil jalan mudah dan berbahaya,
"Mungkin ada anak yang cuba menamatkan masalah dengan membunuh ah long itu," katanya.
Namun ia bukan penyelesaian sebenar.
"Apa kita boleh buat hanyalah membantu mengeluarkan mereka daripada kitaran begini," kata Benz.
Azam 'tinggalkan' kaki lima
Memang pun, setiap ibu miskin kota yang duduk di kaki lima Alka Ria itu mempunyai masalah sendiri.
Sesetengah daripada mereka - seperti kata Benz - berhutang kepada ah long, manakala sebahagian yang lain tidak mempunyai rumah sendiri.
Ibu migran yang berkahwin kepada orang tempatan pula sentiasa dibayangi kebimbangan jika anak mereka tidak dapat bersekolah tanpa sijil lahir.
Nori yang berasal dari Pahang adalah salah satu keluarga yang tidak mempunyai rumah sendiri.
Rumah papan yang ditumpanginya sekarang adalah milik seorang lelaki tua dikenali sebagai Pak Man.
Nori berkenalan dengan Pak Man di kaki lima Alka Ria semasa dia sedang menunggu makanan di sana.
Suami Nori bekerja di kedai makan di Petaling Jaya dengan gaji bulanan hanya RM900.
Oleh kerana kekangan ekonomi Nori cuma mampu menghantar anaknya ke Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih yang menawarkan pendidikan percuma.
Sewaktu saya mengikuti Benz mengunjungi rumah papan Nori, wanita itu meluahkan hajatnya untuk memiliki rumah sendiri suatu hari nanti.
Namun, dia sendiri sukar untuk membayangkan impian itu dapat dicapai dengan keadaan ekonominya ketika ini.
Kini Nori hanya ingin datang ke kaki lima depan Alka Ria setiap malam kerana selain boleh menerima bantuan dia juga dapat berjumpa kawan-kawan lain.
Nor Noraida, 41, pula adalah migran dari Indonesia yang berkahwin dengan lelaki tempatan.
Dia tinggal dengan suaminya di satu bilik kecil di rumah pangsa Flat Selayang dengan sewa RM400 sebulan.
Pendapatan keluarga Noraida barangkali tidak seburuk Nori kerana suaminya bekerja sebagai pegawai keselamatan dengan gaji bulanan kira-kira RM2,300.
Namun, suaminya berhutang kepada ah long dan perlu membayar hutang RM1,000 lebih setiap bulan.
"Suami saya menjadi penjamin kawan dan berhutang sebanyak RM15,000," katanya.
Noraida berkata beliau datang ke kaki lima Alka Ria untuk mengambil barang bantuan hanya kerana ingin mengurangkan beban ekonomi suaminya.
Apabila tiba hari semua hutang suaminya dilangsaikan, Noraida berazam untuk tidak lagi kembali ke kaki lima itu sebagai pengharap bantuan.
"Kaki lima milik orang kurang berkemampuan, biarlah hanya orang yang benar-benar miskin pergi sana untuk dibantu," katanya.