Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Malam Ahad pertengahan Januari. Hujan lebat di Kuala Lumpur. Saya membuat janji temu dengan aktivis Benz Ali untuk melawat Tusyen Jalanan di Chow Kit.

Tidak banyak kereta dan pejalan kaki di malam yang basah itu membolehkan Chow Kit agak sunyi seketika berbanding hiruk-piruk pada malam-malam biasa.

"Sekarang masih hujan, saya tak pasti anak-anak akan datang tusyen atau tidak," Benz mengingatkan saya seolah-olah takut kedatangan pada malam itu hanya sia-sia.

Kami berdiri di kaki lima di depan kedai tekstil Alka Ria di tepi Jalan Tuanku Abdul Rahman. Kedai tiga tingkat itu hampir ditelan gelap malam, manakala kaki limanya itu akan menjadi tempat Tusyen Jalanan Benz.

Namun disebabkan hujan, datang juga beberapa orang gelandangan. Mereka duduk atau berbaring berlapikkan kotak dan akhabar di atas kaki lima.

Menjelang pukul 9 malam, hujan makin renyai. Entah dari arah mana muncul sekumpulan kanak-kanak di tepi jalan dengan payung dan bag kecil di tangan.

Mereka bermain-main di kaki lima yang basah itu. Kanak-kanak itu dalam lingkungan umur 2 hingga 15 tahun. Mereka kelihatan gembira sambil sesetengahnya mengomel: "Kita nak tuisyen".

Jika dilihat lebih dekat, sesetengah kanak-kanak itu tidak ditemani ibu bapa di atas tikar itu. Dan ketika malam semakin lewat, kawasan 'lampu merah' di situ masih ada kanak-kanak merayau-rayau di tepi jalan.

Memandangkan ada kanak-kanak datang, tusyen diadakan seperti biasa. Kawasan kaki lima yang kini diisi orang lain dan pejalan kaki, Benz memindahkan 'kelas' Tusyen Jalanannya ke lorong belakang Alka Ria.

Di sana ada kaki lima yang terlindung daripada hujan, dan ada lampu jalan.

Hujan masih renyai

Lorong belakang yang mungkin menjadi tempat berselindung penagih dadah itu kini dipenuhi dengan suara bacaan kanak-kanak sekaligus merancakkan kesuramannya.

Sebenarnya, sebelum Benz membuka Tusyen Jalanan di Chow Kit tahun lepas, terdapat satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Region Of Love juga membuat aktiviti untuk kanak-kanak jalanan di sana.

Aktiviti Region Of Love diadakan setiap Khamis dan Sabtu dengan aktiviti pendidikan seni yang mudah seperti melukis. Golongan wanita pula diajar menjahit.

Benz kemudian berkenalan dengan ahli Region Of Love. Kataya, NGO itu kemudian menumpukan kerja seni manakala kelas Tusyen Jalanan memberi tumpuan untuk meningkatkan pengetahuan kanak-kanak di situ.

Inilah matlamat utama Benz menubuhkan Buku Jalanan Chow Kit termasuk Tuisyen Jalanan.

Hujan masih renyai. Puluhan kanak-kanak kini berkumpul di lorong belakang bersama dua guru sukarela - Siti Rahayu dan Amir Al-Helmy.

Mereka membentang tikar plastik bercorak kartun di atas laluan pejalan kaki tepi lorong lalu meletak satu papan hitam dan papan putih. Kanak-kanak menanggalkan kasut dan duduk di atas tikar plastik.

"Kita belajar matematik dan pendaraban hari ini," kata Cikgu Siti sambil mengeluarkan buku nota untuk mengambil kedatangan. Kanak-kanak menjawab apabila nama mereka dipanggil.

Disebabkan hujan, kanak-kanak yang hadir ke tuisyen malam itu ketara kurang berbanding malam biasa.

Saya duduk di sebelah seorang kanak perempuan dan bertanya tentang ibu bapanya.

Kanak perempuan itu berkata, ibunya sedang mengambil makanan di depan.

"Apa yang buat kamu datang ke sini?" tanya saya.

"Sebab boleh dapat makanan," katanya tanpa teragak-agak.

Datang setiap malam

Budak perempuan itu bernama Ajin (bukan nama sebenar), belajar darjah tiga di sebuah sekolah kebangsaan berhampiran Chow Kit. Setiap malam, dia akan mengikuti ibu dan kakaknya berjalan kaki selama 10 minit dari rumahnya ke situ.

"Saya suka datang ke sini, dapat main, dapat makan," katanya lagi.

Ketika kami sedang bersembang, seorang budak lelaki di sebelahnya turut menyertai perbualan kami.

"Di sini ada cikgu, ada makanan. Saya pun suka datang sini juga," katanya.

Ridzuan (bukan nama sebenar) dia menunjuk jarinya ke arah belakang lalu berkata rumahnya ada di sana. Setiap malam akan berjalan kaki ke kaki lima itu bersama atuk, ibu dan empat adik-beradiknya.

Katanya, pada waktu malam selalu ada guru mengajar tusyen dan aktiviti lain untuk mereka.

Jika tiada aktiviti, Ridzuan akan bermain dengan kanak-kanak lain di depan deretan kedai di situ.

"Selalunya kamu main apa?" saya bertanya lagi.

"Kami main tolak kereta," jawab Ridzuan sambil memberitahu, Ajin adalah kawan baiknya di situ.

Di bawah sinaran lampu jalan yang malap, kanak-kanak itu duduk di tepi lorong sambil mengira dengan jari belajar matematik. Dalam masa tiga jam, mereka perlu duduk diam-diam dan tidak boleh berlari-lari.

Kanak-kanak ini datang dari keluarga miskin kota yang tinggal di sekitar kawasan Chow Kit. Setiap malam, mereka akan mengikuti ibu masing-masing datang ke situ untuk menunggu pertubuhan amal mengagih makanan.

Sebaik sahaja tiba, ibu mereka mula sibuk meninjau dan mengambil makanan dan barangan agihan pertubuhan amal lalu membiarkan anak-anak mereka bermain di tepi jalanan.

Keluarga miskin kota ini terdiri daripada orang tempatan dan migran. Setiap seorang ibu memiliki antara satu hingga lima anak. Malah sesetengah daripada mereka membawa keluar bersama bayi yang belum sampai umur setahun dalam lewat malam itu.

Harapkan apa di sekolah

Bapa kanak-kanak biasanya bekerja di tempat lain dengan pendapatan antara RM1,000 hingga RM1,500 sebulan. Ia tidak memadai untuk menampung kehidupan di bandar raya sebesar Kuala Lumpur.

Seperti kebanyakan orang, Benz ( gambar ) terkejut ketika dia nampak ada kanak-kanak merayau-rayau di jalanan pada lewat malam.

"Dulu saya selalu makan dekat restoran mamak sini. Saya tengok budak-budak main malam-malam pukul 8 hingga 9, mereka tak ada aktiviti.

"Dalam 10 tahun kalau terus macam itu juga mereka akan rosak. Perlu ada orang buat program untuk mereka. Jadi saya rasa perlu buat sesuatu.

"Saya fikir dah ramai orang bagi makanan, banyak kumpulan amal begitu. Saya fikir, memanglah ada makanan mereka tak mati, tapi mereka juga tak ada pendidikan.

"Walaupun ada yang pergi sekolah, tapi apa kamu harapkan dengan sekolah kita?" kata Benz.

Benz, 28, merupakan aktivis sepenuh masa sambil menjual buku dalam talian separuh masa. Beliau pernah belajar di sebuah universiti di Bangi tetapi berhenti pada semester keenam kerana keadaan ekonomi keluarga tidak mengizinkan.

Benz tidak lupa bergurau bahawa dirinya adalah salah seorang daripada mereka yang terkeluar daripada sistem pendidikan negara.

Benz mulakan Buku Jalanan Chow Kit bersama beberapa orang kawannya pada Ogos tahun lepas. Konsepnya mudah. Ia seperti perpustakaan terbuka yang membolehkan kanak-kanak membaca buku atau meminjam buku.

Pasukannya hanya mempunyai empat ahli iaitu Benz sendiri, Cikgu Siti ( gambar ) dan sepasangan suami isteri Hazri dan Hajar. Selepas itu, barulah ada sukarelawan lain membantu dari semasa ke semasa.

"Kami mula dengan Buku Jalanan. Ini konsep antarabangsa dan tempat lain ada buat juga, iaitu kita dapatkan kawasan kosong untuk buat perpustakaan terbuka," jelas Benz.

Buku Jalanan Benz hanya dibuka setiap malam Ahad dari pukul 9 hingga tengah malam dan tidak pernah berhenti sehingga kini.

"Walaupun saya tak setuju buat masa hujan sebab buku akan basah, tapi anak-anak datang juga. Jadi kami tak sampai hati dan buka kelas juga," kata Benz mengerutkan dahi.

Januari lalu Benz mula membuka Tusyen Jalanan. Pada malam saya melawat mereka itu, ia baru minggu kedua kelas diadakan.

Chow Kit tidak boleh terlepas daripada imej pelacuran, perjudian dan penagihan dadah. Sebab itulah Benz amat bimbang dengan keadaan kanak-kanak miskin kota itu.

"Kamu tidak dapat selesaikan semua masalah mereka. Ada wanita yang meminjam daripada ah long - takkan kamu nak tolong juga?

"Kami tak ada duit dan di luar keupayaan kami.

"Kami hanya nak keluarkan mereka daripada kitaran sekitar, sebab kalau dikelilingi pelbagai masalah sosial dan dadah, rumah pula sempit dan nak sekolah susah, tak mustahil anak-anak ini jadi peragut atau penagih dadah suatu hari nanti," katanya.

Benz berpendapat, aktivis sepertinya mungkin tidak dapat menjaga anak-anak itu sepanjang masa tetapi daripada terbiar langsung, bagus juga jika dapat diajar dalam tempoh dua tiga jam ini.

"Itulah tujuan kita, supaya dia tak rosak atau kita boleh kurangkan kerosakan dia.

"Kita merancang buat begini selama 10 tahun tanpa berhenti, mungkin boleh membantu kanak-kanak itu menjauhi dadah," kata Benz.

Di Tusyen Jalanan Benz mengajar subjek matematik dan bahasa Inggeris. Namun Benz menegas tujuan kelas itu bukan untuk mempersiapkan kanak-kanak terbabit menduduki peperiksaan sebaliknya lebih kepada memupuk minat belajar.

"Kamu kena ingat ramai orang yang keluar dari universiti pun tak boleh bekerja. Kalau kanak-kanak itu tahu bahasa Inggeris, mungkin satu hari nanti dia boleh jadi pemandu pelancong," kata Benz.

Kanak-kanak di situ bukannya tidak bersekolah. Sesetengah daripada mereka pergi ke sekolah siang, dan bagi keluarga tidak berkemampuan pula akan menghantar anak-anak ke Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih - sebuah sekolah percuma untuk kanak-kanak yang tidak dapat memasuki sekolah kerajaan.

Cikgu Siti, 35, seorang guru di sebuah kolej swasta di Bandar Utama pada hari siang. Semasa Benz memutuskan untuk membuat Tusyen Jalanan, dia menawarkan diri menjadi tenaga pengajar sukarela.

"Budak-budak ini memang ada di sini setiap malam, mereka tak ada benda lain nak buat.

"Saya rasa kita tak boleh harapkan pihak-pihak lain atau kerajaan datang bantu. Daripada kita marah atau tunggu saja, lebih baik kita buat sesuatu," katanya kepada Malaysiakini selepas kelas Tusyen Jalanan.

Amir Al-Helmy, 23, ( gambar ) pula baru tamat pengajian di luar negara. Beliau menjadi cikgu sukarela apabila melihat Benz mempelawa untuk berbakti kepada anak-anak Chow Kit melalui Facebook.

Ia adalah pengalaman pertama Benz mengajar kanak-kanak di tepi jalan. Selain teruja, dia tidak tahu apa lagi perkataan lain boleh menggambarkan perasaannya.

"Kanak-kanak ini memang nakal dan saya perlu belajar bagaimana untuk mengawal mereka. Ini tidak mudah kerana ia bukan kelas formal, kamu tak boleh minta semua orang duduk diam-diam," katanya.

Dengan adanya aktiviti jalanan yang diadakan oleh Benz dan Region Of Love, ibu-ibu miskin kota itu kelihatan lebih selesa untuk membawa anak-anak datang ke kaki lima ini.

Benz kemudian mencadangkan saya melawat Tusyen Jalanan pada minggu berikutnya kerana malam tanpa hujan suasana lebih riuh rendah.

Ada lebih 30 orang kanak-kanak hadir di kelas Tusyen Jalanan minggu seterusnya dan mereka memenuhi beberapa helai tikar yang dibentang di atas kaki lima.

Tenaga pengajar sukarela membahagikan kanak-kanak kepada dua kumpulan - satu belajar matematik dan bahasa Inggeris, manakala sekumpulan lagi kanak-kanak yang lebih muda bermain permainan seperti catur ular dan silang kata.

Lorong belakang menjadi meriah seolah-olah ada taska terbuka, atau lebih kepada majlis perjumpaan keluarga besar-besaran.

Melihat wajah-wajah riang mereka, kanak-kanak itu seperti sedang melaksanakan janji pertemuan dengan kawan-kawan dan cikgu-cikgu setiap malam, tanpa mengira hujan atau ribut.

Jalanan bukan sekadar taman permainan, malah tempat untuk kanak-kanak itu cuba mengejar ilmu pengetahuan.

Menjelang pukul 11.30 malam, Buku Jalanan dan Tusyen Jalanan pun berakhir. Namun, sebilangan ibu masih berada di kaki lima di depan Alka Ria dengan harapan masih ada badan amal datang memberi makanan dan barangan. Anak-anak mereka terus bermain di tepi jalan.

[Bersambung: Catatan malam Chow Kit (2): Mengubah dari dalam]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS