ULASAN Rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita bahawa kerajaan Malaysia dan Bangladesh telah meluluskan untuk membawa masuk pekerja dari Bangladesh sejumlah 1.5 juta dalam tempoh tiga tahun.
Sebelum ini ia berita spekulasi dan kini ia benar mengikut laporan media. Ada rakyat yang menyatakan ini keputusan gila?
Sudah pasti rasionalnya adalah Malaysia kekurangan pekerja dan dari aspek pembangunan serta ekonomi. Wajar atau tidak, isu membawa masuk 1.5 juta Bangladesh boleh didebat tujuh hari tujuh malam.
Tuduhan pertama ada pihak hendak buat duit secara kilat dan tidak sedikit kerana komisyennya yang lumayan. Ada yang mengatakan "perniagaan hamba abdi". Kuotanya diagih-agih kepada penyokong politik yang terdekat dengan pembuat keputusan.
Apa pun isunya apakah kewajaran membawa masuk 1.5 juta Bangladesh? Apakah sejumlah ini diperlukan yang bagi tujuan " forward selling " kuota seperti jual kawasan balak yang belum ditanam.
" This is a joke in the town ". Kesan keselamatan dan berbagai implikasi pasti timbul dan cuba bayangkan dengan jumlah yang sudah sedia ada dalam negara sama ada yang datang cara halal atau haram.
Kes jenayah tidak sedikit sudah berlaku sebelum ini. Industri memang cenderung ambil pekerja asing kerana gaji murah. Malah dari hotel sehingga warung ambil pekerja asing.
Yang menyedihkan langsung tidak pandai bahasa kebangsaan. Sepatutnya mesti ada sijil boleh bertutur bahasa kebangsaan baru boleh masuk bekerja di Malaysia. Belajar dulu di negara asalnya.
Pengangguran meningkat
Rakyat tempatan bagaimana? Pengangguran terus meningkat. Kerajaan kena ada dasar yang jelas dan tegas.
PERKASA menggesa kerajaan menangguhkan dulu keputusan membawa masuk Bangladesh 1.5 juta ini dan kajian dan maklum balas dari semua pihak mesti dilakukan dulu.
Mungkin kertas dasar sudah disediakan, tetapi sudah diolah untuk kelulusan. Ini perkara besar yang boleh memberi impak kepada negara pada masa akan datang.
Jangan hanya mendengar kehendak atau pendapat pihak industri sahaja. Rakyat biasa juga berhak memberi pendapat atau membantah. Semuanya dilihat dari segi ekonomi semata mata.
Apakah dasar patriotisme negara? Adakala biar kita tidak makan demi maruah negara. Atau kita tak perlu kepada pelancongan melalui tarikan pelacuran.
Ada cara lain. Contohnya kenapa tidak digalakkan siswa-siswi universiti awam dan swasta bekerja sambilan seperti di luar negara.
Mereka boleh bekerja di kedai kopi, hotel, kafeteria dan restoran pada musim cuti, atau hujung minggu atau waktu tidak ada kuliah. Ini juga proses semangat kenegaraan.
Apa kesudahan pemutihan?
Kesedaran hendaklah digerakkan. Mahu seribu daya dan tak mahu seribu dalih. Pemimpin dan kerajaan jangan ambil jalan mudah. Sudah banyak keputusan yang awalnya kata baik tetapi sudahnya gagal dan terus gagal.
PERKASA juga mahu tahu apa kesudahan proses pemutihan pekerja asing empat tahun dahulu?
Berjuta yang tinggal lebih masa dan tiada permit kerja sudah diputihkan ketika kempen pemutihan. Apakah tidak cukup lagikah bilangan pekerja asing yang diperlukan?
Apakah kempen tersebut berjalan dengan baik atau sebaliknya? Kalau berjalan baik maknanya sudah ramai diputihkan dan diberi permit kerja dan pastinya mencukupi.
Jika tidak berjalan dengan baik, ke mana mereka sekarang. Pastinya masih ada dalam negara ini lagi.
Mengapa tidak teruskan program pemutihan seperti itu dengan penambahbaikan proses bagi memudahkan mereka mengikuti program itu.
Belajarlah pemimpin Malaysia daripada kesilapan dan pengalaman. PERKASA mahu perkara ini ditangguh dulu.
DATUK IBRAHIM ALI presiden PERKASA.