Setahun selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan bekas pembantunya tampil dengan soalan: "Adakah saya ini bukan manusia" sehingga haknya sebagai "mangsa" dinafikan?
"Pada hemat saya, agaknya realiti dunia sekarang sudah terbalik.
"Manusia akan membela individu yang berkepentingan pada mereka, berkuasa, berpengaruh, berduit kaya-raya," kata Saiful Bukhari Azlan yang disabitkan mahkamah sebagai mangsa liwat bekas timbalan perdana menteri itu.
Anwar kini sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Sungai Buloh setelah diputuskan bersalah meliwat Saiful.
Menurut Saiful, dalam masa setahun ini beliau sedia maklum dengan gerakan mahu pun kempen oleh keluarga, penyokong serta pihak-pihak tertentu untuk membebaskan bekas ketua pembangkang itu dari penjara.
Namun, beliau mengambil pendekatan untuk tidak memberi reaksi dan membiarkannya begitu sahaja.
“Pada hemat saya, sudah cukup apabila aduan saya diadili sehingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan dan beliau pun telah dijatuhi hukuman. Saya mahu terus ke hadapan, tutup buku,” kata Saiful.
Beliau bagaimanapun menyelar kenyataan dalam kes itu yang didakwanya berunsur penipuan dan mengelirukan dalam kes itu.
“Antara penipuan dan spin (putar belit) yang mereka (pembangkang) lakukan adalah seperti "tuduhan palsu", "tahanan politik", perbicaraan berat sebelah, tidak dapat membela diri dan sebagainya,” ujar Saiful.
Malah, menurut Saiful penipuan yang dilakukan bukan sahaja pada rakyat Malaysia tetapi pada dunia.
“Amat malang lagi, tanpa rasa bersalah atau malu, penipuan ini disalurkan pada negara dan kerajaan di luar negara sehingga ada mereka mempercayainya dan mengambil beberapa tindakan seperti memberi "derma jutaan dolar" untuk kempen pembebasan Anwar,” katanya.
Justeru, Saiful mahu pihak yang terlibat berhenti dari terus menipu rakyat.
“Cukup-cukuplah berdusta. Dari tahun 1998 hingga kini, tak habis-habis lagi. Jika tidak takut pada manusia, takutlah pada Allah. Kasihanilah pada mereka yang kamu tipu itu,” pinta Saiful.