Tidak ada sebab untuk menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tokoh pembangkang hanya kerana beliau sudah berumur, kata anak perempuannya, Nurul Izzah Anwar.
Katanya, ada yang mengatakan bahawa Anwar sudah berumur dan sudah tiba masanya untuk pemimpin baru.
Tetapi di Amerika Syarikat, kata Nurul Izzah, Bernie Sanders yang berusia 74 tahun sedang berjuang memerangi jurang perbezaan antara golongan miskin dan kaya.
Nurul menegaskan demikian dalam satu majlis di luar Penjara Sungai Buloh bagi menandakan ulang tahun pertama pemenjaraan Anwar.
Anwar telah menjadi wajah dan tokoh pembangkang sejak tahun 1998 apabila gerakan Reformasi bermula.
Pengkritik berkata, PKR perlu keluar dari bayang-bayang itu jika ia mahu menjadi parti yang berjaya.
Nurul Izzah, seorang naib presiden PKR dan ahli Parlimen Lembah Pantai, berkata, walaupun bapanya masih boleh memimpin pembangkang untuk menempa kemenangan, tetapi rakyat juga perlu melakukan bahagian mereka.
Sehubungan itu, beliau menggesa mereka supaya mula bertindak seperti pemenang dan terus bekerja keras.
Katanya, tunjukkan bahawa negara ini adalah milik mereka dan bukan hanya milik perdana menteri.
Kira-kira 1,000 orang menghadiri majlis itu malam tadi dan mendengar ucapan dari lebih daripada 20 ahli politik PKR, AMANAH dan DAP.
Ia bermula pada pukul 8 malam dan berlangsung hingga tengah malam, dan berakhir dengan bacaan doa supaya Anwar cepat dibebaskan.
Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli yakin ini boleh dilakukan dalam tempoh setahun.