Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah meminta pihak tidak bertanggungjawab menghentikan penyebaran fitnah mengenai sogokan wang bagi mendapat sokongan terhadap dirinya.
Justeru itu, menteri besar Kedah yang baru itu telah pun membuat laporan polis berhubung dakwaan tersebut.
Beliau berkata laporan polis terhadap individu yang didakwa mengeluarkan kenyataan berhubung sogokan wang tersebut dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan terhadap pihak yang menyebarkan fitnah itu.
Beliau menegaskan sogokan wang bukan budaya Umno untuk mendapatkan sokongan pemimpin akar umbi.
Ahmad Bashah berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas dakwaan yang viral dalam laman sosial, kononnya Ketua Umno Bahagian dan Ketua Sayap Umno Bahagian disogok sejumlah wang sebagai sagu hati bagi menolak kepimpinan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir sebagai menteri besar.
"Saya minta anak-anak muda yang bakal mewarisi kepimpinan negeri dan negara ini pada masa depan menghentikan fitnah ini dengan segera ...ia boleh merosakkan segala-galanya.
"Kemelut politik di negeri ini telah selesai dan menteri besar baru telah dipilih. Apa yang penting kami perlu bergerak ke hadapan untuk tunaikan janji Umno semasa pilihan raya umum yang lepas," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Bashah yang juga timbalan pengerusi badan perhubungan Umno Kedah berkata beliau akan berjumpa dengan semua pegawai kerajaan negeri untuk mendapatkan penerangan berhubung projek dan program yang sedang dan akan dilaksanakan.
"Saya mahu dengar penerangan mengenai pelbagai perkara bagi memudahkan saya untuk teliti dan membuat keputusan. Seperti 'Discover Kedah 2016', kami akan teruskan dan mungkin ada sedikit penambahbaikan untuk program pelancongan tersebut.
"Seperti litar lumba kepada generasi muda, saya akan berbincang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk percepatkan pembinaannya bagi memenuhi keperluan mereka," katanya.
Katanya beliau akan meneruskan perancangan yang dibuat oleh Mukhriz di samping menyusun perancangan baru untuk kebaikan rakyat negeri ini.
Terdahulu, Ahmad Bashah tiba di bangunan pejabat Menteri Besar Kedah di Wisma Darul Aman pada kira-kira 7.50 pagi dan mengetip kad perakam waktu pada kira-kira pukul 7.59 pagi, bagi memulakan tugasnya.
-Bernama