Media Singapura menamakan pengurus hubungan bank untuk jutawan Jho Low - Yak Yew Chee - sebagai antara individu yang disiasat oleh negara itu dalam kontroversi membabitkan firma pelaburan negara 1MDB.
Namanya didedahkan oleh Singapore Straits Times dan Singapore Business Times yang memetik sumber yang tidak dinamakan.
Laporan berkata Yak juga pernah berkhidmat sebagai pengurus hubungan untuk 1MDB Global Investment Ltd, Aabar Investment PJS Limited dan SRC International Sdn Bhd, semua entiti yang ada dan pernah dikaitkan dengan 1MDB.
Ini adalah nama pertama yang didedahkan kepada umum dalam siasatan Singapura terhadap dakwaan pengubahan wang haram oleh entiti yang berkaitan dengan 1MDB di mana pihak berkuasa tidak mahu mengulas.
Menurut Singapore Straits Times, kira-kira S$10 juta di akaun bank Yak disita pada September tahun lalu.
Menurut laporan itu, Yak, yang adalah seorang pegawai bank peribadi kanan dengan bank Switzerland, BSI Singapura.
Beliau telah memohon supaya akaun banknya ‘dibebaskan’ untuk tujuan "pembayaran cukai, yuran guaman dan perbelanjaan asas".
Akhbar itu berkata permohonan itu akan didengar di Mahkamah Tinggi Singapura pada hari Jumaat ini.
Semalam, Lembaga Kewangan Singapura dan Jabatan Ehwal Komersial polis republik itu berkata bahawa mereka telah menyita sebahagian besar akaun bank berhubung kemungkinan aktiviti pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan 1MDB.
Pengumuman awam itu dibuat selepas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali pada 25 Januari lalu membersihkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak daripada sebarang kesalahan jenayah atau rasuah dan mengarahkan siasatan ke atasnya berhubung derma RM2.6 bilion dan isu SRC International ditutup.
Najib secara konsisten mendakwa dana secara besar-besaran itu adalah sumbangan dari Timur Tengah.