Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM kemuka tiga nama untuk jawatan MB Kedah
Diterbitkan:  Jan 29, 2016 3:28 PM
Dikemaskini: 10:27 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dipercayai telah mengemukakan tiga nama sebagai calon untuk jawatan menteri besar Kedah kepada Jemaah Pemangku Sultan Kedah bagi menggantikan penyandangnya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Nama-nama itu dikatakan dikemukakan ketika pertemuannya di Istana Darul Aman, di Kuala Lumpur, pagi tadi.

Walau bagaimanapun, portal Berita Harian Online melaporkan bahawa nama ADUN Bakar Bata Datuk Seri Ahmad Basah Md Hanipah tidak berada dalam senarai itu.

Ahmad Bashah, yang juga adalah Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah memulakan langkah pada 20 Januari lalu supaya Mukhriz yang juga anak kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad digantikan.

ADUN Bakar Bata itu pada sidang akhbarnya mengisytiharkan bahawa Umno negeri hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap Mukhriz.

Menurut Berita Harian yang memetik sumber, nama-nama dalam senarai berkenaan adalah ADUN Guar Chempedak Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail, ADUN Ayer Hangat Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid dan ADUN Bayu Datuk Azmi Che Husin.

Daripada tiga nama itu, menurut laporan tersebut, Ku Abd Rahman mempunyai potensi untuk menjadi menteri besar baru beliau adalah exco yang paling kanan di Kedah.

Spekulasi bertiup kencang bahawa tindakan terhadap Mukhriz itu ada kaitan dengan kempen berterusan bapanya untuk menggulingkan Najib.

Walau bagaimanapun, perkara ini telah dinafikan.

Difahamkan, 21 ADUN BN Kedah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri pada Selasa lalu di Putrajaya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS