Kenderaan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilihat memasuki Istana Kedah di Kuala Lumpur pagi ini, dan ia menguatkan spekulasi mengenai perubahan menteri besar Kedah tidak lama lagi.
Kereta Najib, dengan nombor plat W 11 N, dilihat memasuki Istana Darul Aman pada kira-kira jam 8.18 pagi ini.
Beliau dipercayai menghadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah di Istana Darul Aman di Bukit Persekutuan, di Kuala Lumpur selama kira-kira sejam.
Majlis Tertinggi Umno akan bermesyuarat petang ini di mana Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dijadual menghadirinya.
Mukhriz sedang berdepan krisis keyakinan di negeri itu selepas timbalannya dalam kepimpinan Umno negeri, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah , mengisytiharkan bahawa ADUN BN tidak lagi mempunyai keyakinan terhadap anak Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menerajui Kedah.