Sekumpulan pelajar yang mendapat tawaran pelajaran ke luar negara menemui jalan buntu apabila mendapat tahu tidak akan menerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Isu mengenai perkara itu hangat diperkatakan sejak minggu lalu, menyebabkan pelajar berkenaan berjumpa dengan pegawai JPA di Putrajaya bagi mendapatkan penjelasan.
Namun, jawapan yang diterima sungguh mengejutkan apabila pihak jabatan tersebut mengesahkan ia digantung sementara waktu.
“Dalam sesi perjumpaan dengan pegawai JPA pada 19 Januari lalu memang mereka sahkan biasiswa digantung sementara, semua orang terkejut dan hampir semuanya menangis mendengar berita itu,” kata seorang wakil pelajar dalam sidang media di sebuah restoran di Subang Jaya hari ini.
Malah, pelajar-pelajar ini turut mendakwa pegawai dari JPA mengesahkan terdapat lima jurusan lain seperti arkitek, perubatan, pemakanan, farmasi, dan pergigian telah digantung sementara.
Mereka juga difahamkan pihak JPA akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu namun sehingga kini masih belum berbuat demikian.
Sebelum ini terdapat ibu bapa membuat aduan berkenaan biasiswa JPA digantung.
Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Wee Ka Siong dilaporkan telah membangkitkan isu itu di kabinet dan menggesa supaya biasiswa itu diberikan semula.
Wee turut berkata, beliau tidak mengumumkan penggantungan biasiswa JPA sebaliknya hanya sekadar menjawab keprihatinan ibu bapa tentang biasiswa itu yang telah dilaporkan secara meluas dalam media.
Dalam sidang media yang sama hari ini, pelajar-pelajar tersebut yang enggan wajah mereka dirakam melahirkan rasa kesal dengan penarikan biasiswa tersebut.
Berputih mata
Menurut salah seorang pelajar yang hanya mahu dikenali sebagai K, beliau sudah menerima tawaran dari Universiti Melbourne, Australia dan harus mendaftar pada 29 Januari ini. Bagaimanapun beliau kini berputih mata apabila JPA menarik balik tawaran biasiswa itu.
“Buntu, Keputusan dari Universiti Melbourne saya terima pada 13 Januari lalu yang mengatakan saya diterima masuk.
“Tapi, sebelum mendaftar saya harus dapatkan dulu slip (biasiswa) dari JPA, tapi saya difahamkan biasiswa sudah digantung. Masa yang saya ada sangat singkat, sekarang saya buntu,” katanya.
Bagi pelajar yang mahu dikenali sebagai G pula berkata, beliau telah ditawarkan pengajian di Imperial College London dalam jurusan Kejuruteraan Sivil.
Namun usaha kerasnya iaitu perlu menjalani lima peperiksaan berbeza termasuk temuduga dengan pihak universiti mengalami jalan gelap apabila biasiswa JPA tidak lagi diberikan.
“Lima peperiksaan berbeza, ada temuduga itu dalam masa satu bulan yang saya kena tempuh, ia sangat sukar dan sekarang tidak ada biasiswa untuk saya teruskan pelajaran,” katanya.
Justeru, pelajar-pelajar terbabit berharap agar biasiswa JPA diberikan semula kepada mereka bagi meneruskan pelajaran di luar negara.
Bernama pada 22 Januari lalu melaporkan menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Wee Ka Siong ( gambar ) sebagai meminta penerima biasiswa JPA menunggu laporan jabatan berkenaan dan tidak membuat kesimpulan tidak berasas mengenai perkara itu.
Wee berkata laporan sebuah portal dalam talian bahawa JPA telah menghentikan pemberian biasiswa adalah tidak berasas, tidak bertanggungjawab dan menimbulkan kekecohan.
Sehari sebelum itu, Wee, yang juga timbalan presiden MCA, menulis di Facebooknya bahawa sebuah portal berita tersilap memetik laporan Sin Chew Daily mengenai komen beliau tentang isu tersebut, dan oleh itu, beliau tidak boleh dipertanggungjawabkan jika komennya diputar belit.