Lembaga Tabung Haji hari ini menggesa semua pendepositnya supaya tidak membuat spekulasi bahawa lembaga itu melewatkan bayaran dividen kepada 9 juta pendepositnya.
Agensi itu berkata, pada kelazimannya Tabung Haji akan mengumumkan bonus pendeposit pada suku pertama antara Januari hingga Mac.
"TH perlu memastikan semua proses auditan awalan dilalui dan kelulusan dalaman diperolehi.
'Konsep simpanan di TH adalah AlWadiah Yad Dhamanah di mana apa apa pulangan adalah dalam bentuk Hibah tertakluk kepada prestasi kewangan tahun semasa dan budi bicara pengurusan.
"Konsep ini tiada bezanya dengan konsep AlWadiah oleh institusi perbankan Islam yang lain," kata kenyataan bahagian hal ehwal awam dan komunikasi korporatnya.
Menurutnya, Tabung Haji pernah mengumumkan bonus pendeposit pada hujung bulan Februari dan awal bulan Mac.
Namun pada tahun lalu pengumuman bonus dibuat lebih awal.
"Walaupun tahun 2015 adalah mencabar namun TH percaya hasil strategi alokasi asetnya dapat membantu pulangan pendapatannya.
"Oleh yang demikian para pendeposit seharusnya tidak mengambil berita spekulasi yang akan mencetuskan kebimbangan," katanya.
Terdahulu, Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mujahid Yusof Rawa hari ini menimbulkan kebimbangan mengenai kelewatan Tabung Haji mengisytiharkan dividen yang sepatutnya dilakukan pada 22 Januari.
Mujahid berkata, walaupun Tabung Haji mempunyai tempoh sehingga Mac untuk mengisytiharkan dividen dan bonus, tindakan berdiam diri menimbulkan persoalan mengenai kemampuan kewangan institusi itu.