Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa bahawa DAP dilihat menyokong Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) kerana orang Cina dikatakan menguasai perdagangan di negara ini.
Hadi mendakwa DAP bersetuju dengan tender terbuka "sebab orang Cina menguasai perdagangan di Malaysia".
Katanya, kontraktor Malaysia akan perlu bersaing dengan kontraktor dari negara anggota TPPA yang mempunyai peralatan yang lebih canggih, lebih pengalaman dan lebih kebolehan.
"Orang bumiputera yang letihnya dengan TPPA ini," katanya dalam video mesej pra-perhimpunan yang disiarkan melalui laman Facebook PAS.
PAS, bersama-sama dengan parti politik lain dan NGO akan berhimpun di Kuala Lumpur petang ini untuk membantah TPPA yang akan melalui proses pengundian di Parlimen akhir bulan ini.
PSM yang telah berikrar untuk menyertai perhimpunan tersebut, juga telah mengkritik Pakatan Harapan dan khususnya DAP kerana didakwa dilihat kurang menunjukkan komitmen untuk menggerakkan ahli-ahlinya untuk menyokong bantahan tersebut.
Presiden PAS itu menggesa ahli parti itu menggerak dan menyertai perhimpunan hari ini.
Mengulas lanjut mengenai bahaya TPPA, Hadi mengumpamakan Malaysia sebagai sebuah tasik yang kecil yang menumpang lautan yang besar.
"Bila buang sempadan, air lautan itu masuk, jadi banjir, kita tak dapat nak lawan air pasang dia. Sebabnya kita menentang," katanya.
"Kita negara kecil, kalau kita langgar undang-undang, dia (Amerika) boleh mengambil tindakan undang-undang ke atas kita,
"Kalau dia (Amerika) langgar peraturan, boleh dak kita bertindak, bawa Amerika ke mahkamah? Dia boleh buat apa saja," katanya.