Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin meminta agar isu pelajar "kebuluran" tidak disensasikan oleh sesetengah pihak.
Malah beliau turut meminta agar cerita tersebut dikaji terlebih dahulu tentang kesahihannya.
Ini kerana, katanya, walaupun terdapat pelajar yang susah namun beliau berpendapat tidak ada kes pelajar yang kebuluran.
"Kita kena tapis berita dan laporan sama ada sahih atau tidak. Saya tak kata mahasiswa semua senang dan tak ada yang susah tetapi saya rasa tak ada mahasiswa kebuluran.
"Sedangkan gelandangan di Kuala Lumpur pun Pemuda bagi makanan percuma. Perkara ini sukar untuk difahami. Saya harap cerita begini tidak disensasikan tapi kena tengok kesahihan.
"Memang ada yang susah tapi tak adalah sampai susah macam itu," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mesyuarat exco Pemuda Umno di ibu negara hari ini.
Sebelum ini, Harian Metro melaporkan terdapat pelajar yang terpaksa "mengikat perut" kerana kesempitan wang dan terpaksa berjimat cermat sehingga ususnya tercedera.
Malah ada juga laporan yang mendakwa bahawa terdapat pelajar yang tidak makan berikutan terbeban dengan kos sara hidup.
Sementara itu, mengulas cadangan Umno Bahagian Cheras agar Majlis Syura mengkaji semula kerjasama antara PAS dan Umno, Khairy berkata perkara itu tidak perlu dilakukan.
Ini kerana, beliau berpendapat Umno tidak terlalu terdesak untuk "merayu" kepada PAS agar kerjasama antara dua parti itu terjalin.
"Kita tak adalah lemah sangat sampai nak merayu. Kalau tak ada nak kerjasama, tak payahlah. Kita jalan atas kekuatan diri sendiri.
"Kita tak terdesak macam itu," katanya.