Kurang tiga minggu selepas rumah anak perempuannya dipecah masuk buat kali kedua, nasib malang sekali lagi menimpa Timbalan Perdana Menteri apabila kali ini rumah pengawal peribadinya pula dimasuki perompak.
Portal The Sun melaporkan sekumpulan perompak menggunakan parang dan merempuh masuk ke dalam rumah pegawai polis itu di bandar Bukit Mahkota pada jam 9.30 pagi semalam.
Perompak tersebut dilapor mengancam anak dan isterinya dengan parang dan mendesak supaya menyerahkan wang dan barang berharga sebelum mengarahkan mangsa menekup muka di lantai .
Pegawai polis berkenaan bagaimanapun tiada di rumah ketika kejadian.
Penjenayah juga dilapor mendesak agar isteri pegawai polis terbabit menyerahkan senjata suaminya.
Bagaimanapun mereka tidak dapat berbuat demikian kerana senjata api berkenaan dibawa bersama anggota polis terbabit.
Dalam kejadian itu, perompak terbabit merampas wang tunai, barang kemas dan alat elektronik bernilai hampir RM60,000, sebelum melarikan diri dari tempat kejadian.
Pada 16 Disember tahun lepas, rumah anak perempuan Zahid, Nurulhidayah di Country Heights Kajang turut dipecah masuk untuk kali kedua.
Zahid merupakan menteri dalam negeri dan pasukan polis berada di bawah bidang kuasanya.