Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Raja Noor Jan Shah kebal?'
Diterbitkan:  Jan 3, 2016 12:33 PM
Dikemaskini: 4:38 AM

Pihak berkuasa dilihat gagal memantau aktiviti usahawan Raja Noor Jan Shah Tuah yang mengakui dirinya sultan Melaka, kata Utusan Malaysia.

Langkah Noor Jan menobatkan diri sebagai sultan Melaka pada 2005 dan menuntut takhta adalah perkembangannya tidak sihat, malah mengancam institusi beraja, tulis Awang Selamat.

“Sampai bila kisah Sultan Melaka ini mahu berakhir di sebalik langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan bagi menanganinya,” kata Awang Selamat, nama samaran yang dilihat membawa pendirian akhbar itu.

Sebelum ini gambar satu majlis kononnya bersempena darjah kebesaran Noor Jan kepada beberapa individu dan aktivis viral di dalam sosial media.

Antara yang kononnya menerima anugerah tersebut iaitu aktivis popular dengan gelaran " raja repot ", Abdul Rani Kulup Abdullah ( gambar ).

Noor Jan dilaporkan memberikan anugerah tersebut laksana seperti seorang raja yang sah sedangkan kerajaan Melaka sejak awal lagi menafikan beliau pewaris takhta kesultanan negeri.

“Sudah banyak tindak-tanduk beliau memudaratkan tetapi nampaknya Noor Jan kebal. Beliau terus dengan aktiviti kesultanannya.

“Awang lihat kegagalan pihak berkuasa untuk menyelesaikan sama sekali isu tersebut memberikan mesej yang salah dan mengelirukan kepada umum.

“Sebab itu ada yang berani untuk menerima dan mengiktiraf gelaran yang diberikan oleh beliau,” tulis Awang Selamat.

Justeru akhbar lidah Umno itu mencadangkan agar kerajaan mengambil tindakan yang sewajarnya kepada pihak yang bersubahat dengan Noor Jan.

Ini supaya tidak ada lagi individu lain selepas ini akan muncul dan mendakwa diri sebagai sultan dan raja di negara ini.

Tahun lalu, Noor Jan pernah ditahan polis bagi membantu siasatan mengikut Akta Hasutan berhubung dakwaan mengadakan beberapa majlis penganugerahan pingat, bintang dan darjah kebesaran yang tidak diiktiraf.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS