Exco Pemuda Umno Armand Azha Abu Hanifah meminta orang ramai supaya tidak lagi membeli barangan digital di Plaza Low Yat dan Kompleks Kota Raya berikutan pergaduhan yang berlaku Sabtu lalu.
Sebaliknya, beliau mencadangkan supaya orang ramai pergi ke pusat teknologi maklumat (IT) yang baru dibuka iaitu Mara Digital.
"Kepada pengguna-pengguna, cukup-cukuplah kita ke Low Yat dan Kota Raya untuk membeli barangan digital.
"Saya cadangkan adalah baik ke Mara Digital, ia lebih baik dan selamat bagi pengguna. Insya-Allah," kata Armand di dalam Facebooknya hari ini.
Selain itu, Armand juga berkata, beliau secara peribadi tidak bersetuju dengan tindakan pihak polis yang menahan Mohd Ali Baharom atau Ali Tinju di bawah Akta Hasutan ekoran kejadian di Kompleks Kota Raya.
Katanya, pihak polis sepatutnya mengambil keutamaan terhadap kejadian penipuan peniaga terhadap pengguna yang menggunakan kekerasan di kompleks berkenaan.
"Pihak berkuasa seharusnya mengambil tindakan tegas bukan sahaja pada pekerja malah pada syarikat pengendali telefon serta pengurusan pihak Kota Raya tersebut kerana membenarkan cara ala-ala gangster dalam perniagaan," katanya lagi.
Semalam, polis menahan Ali Tinju berikutan demonstrasi untuk memboikot peniaga di Kompleks Kota Raya Jumaat lalu.
Ali mengetuai tunjuk perasaan selepas ada pembeli mendakwa dikurung oleh seorang peniaga selama empat jam kerana enggan membeli beberapa telefon bimbit.
Pembeli itu mendakwa peniaga di kompleks itu meminta bayaran RM10,000 bagi empat telefon bimbit walaupun harga asalnya hanya RM800. Individu tersebut hanya dibebaskan selepas membayar RM5,000.
Tribunal pengguna berpihak kepada pembeli berkenaan dan mengarahkan peniaga terbabit memulangkan wang kepadanya.