Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Air mata ahli Umno kelihatan gugur ketika presiden mereka, Datuk Seri Najib Razak menggesa agar perpaduan diterapkan dalam parti Melayu berkenaan.

“Saudara saudari, apa guna kita bermusuh, berpatah arang berkerat rotan kerana yang menang akan arang dan yang kalah pula akan menjadi abu. Nanti orang lainlah pula yang mendapat untung.

“Walau rentung dibakar fitnah, walau bercerai anggota dari badan walau bercacak panah dan lembing, panji-panji Umno kita tegakkan juga,” katanya dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Umno ke-69 hari ini.

Najib mengakhiri ucapannya dengan menyebut "tidak akan berundur, tidak akan menyerah kalah" sebanyak dua kali dan disambut tepukan gemuruh daripada mereka yang duduk di depan televisyen besar di ruang legar Pusat Dagangan Dunia Putra.

Perhimpunan itu berlagsung di Dewan Merdeka bangunan berkenaan.

Sesudah Najib menghabiskan ucapannya, ahli parti Melayu itu bingkas bangun dan ada di antara anggota parti kelihatan menangis sambil berpelukan antara satu sama lain.

Pergolakan dalam Umno kini berkisar kepada isu 1MDB dan dana RM2.6 bilion yang dimasukkan Najib ke akaun persendirian beliau.

Najib sudah berkali-kali menafikan terbabit dalam salah laku.

Antara pihak yang mengkritik Najib ialah bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, selain timbalan presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Rasa sedih sangat

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Wanita Bandar Tun Razak Halidah Hussin berkata, beliau sebak apabila Najib menggesa agar penyatuan sesama ahli dikembalikan dalam Umno.

Beliau turut berharap agar Muhyiddin dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal kembali bersama parti itu semula.

“Kalau boleh nak Umno tu kekal selama-lamanya untuk orang Umno, kita rasa sedih sangat dengan apa yang berlaku. Kita nak biar ada penyatuan dalam Umno sebab yang kita berjuang dalam Umno ni untuk anak cucu kita.

"Sedih sangat sangat Najib cakap macam tu.

“Kita nak Muhyiddin dan Shafie Apdal balik semula, kembali dengan Umno,” katanya kepada Malaysiakini.

Bagi ahli Umno dari Indra Mahkota, Pahang, Zainura Abas, berkata beliau terkesan dengan ucapan Najib malah bimbang sekiranya tidak bersatu padu, negara ini akan ditakluki oleh "bangsa asing".

“Perasaan sedih sebab semangat bersatu kalau kita berpecah belah, kita takut kita ni duduk di tanah yang ditakluk bangsa asing,” katanya.

Manakala rakannya dari bahagian sama, Fatimah Nor Ngah, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak seharusnya mengkritik kepimpinan Najib kerana sebelum ini mereka akur terhadap bekas presiden Umno itu.

“Sekarang Umno bersatu padu tapi ada anasir yang ganggu. Seandainya Umno berpecah apa nasib anak cucu kita sedangkan kita sudah berjuang hampir 70 tahun.

“Dalam sekelip mata Umno rosak, itu yang sedih, dengar ucapan presiden rasa sedih. Tun M tak patut kritik Najib dulu kami sebulat suara sokong mantan presiden,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS