Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Muhyiddin tak akan minta maaf
Diterbitkan:  Dec 12, 2015 3:11 PM
Dikemaskini: 7:41 AM

Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan memohon maaf kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, seperti dipekulasikan media pro-Najib semalam.

Timbalan presiden Umno itu berkata tiada sebab yang memerlukan beliau bertindak demikian.

“Apa yang saya sebut bukan soal peribadi.

“Apa yang saya bangkitkan selama ini soal parti dan soal kepimpinan,” katanya.

Memetik sumber, MYKMU semalam melaporkan ada cakap-cakap yang mengatakan kebarangkalian Muhyiddin akan meminta maaf kepada Najib hari ini.

Sementara itu, Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula berkata masih ada ruang untuk Muhyiddin dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memohon maaf atas “keterlanjuran sikap”.

Muhyiddin dan Shafie sebelum ini digugurkan dalam kabinet perdana menteri setelah lantang mengkritik dalam isu 1MDB dan dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi Najib.

Muhyiddin juga disekat sepenuhnya daripada berucap kepada perwakilan dalam perhimpunan agung Umno di ibu negara, yang masuk hari terakhir hari ini.

Sementara itu, Muhyiddin berkata beliau tidak melakukan sebarang kesalahan atau tersasar daripada landangan perjuangan untuk menyatakan kebenaran kerana rasa cinta kepada Umno.

“Saya mahu Umno terus kekal diyakini dan dipercayai oleh rakyat, sebab itu bagi saya tidak ada sebab berpatutan yang memerlukan saya memohon maaf kepada sesiapa.

“Dan saya harap ini tidak disalahtafsirkan,” katanya.

Beliau juga berpesan supaya semua pihak tidak membuat sebarang andaian.

Beliau juga menyatakan komitmen untuk terus hadir persidangan hingga ke penghujungnya hingga lewat petang ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS