Rancangan kerajaan untuk membawa masuk guru terlatih Bahasa Inggeris dari India ditangguhkan pada masa ini, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Beliau berkata penangguhan itu bukan sahaja melibatkan pengambilan guru dari India, malah turut melibatkan pengambilan guru terlatih dari negara lain termasuk dari Cambridge, United Kingdom.
"Penilaian secara komprehensif harus dilakukan terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat dan akan memberi jawapan pada tahun hadapan. Kita tangguhkan program ini buat masa ini," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah Program Inovasi Usahawan Muda SME Bank Y-BIZ Challenge 2015 di ibunegara semalam.
Pengambilan guru terlatih Bahasa Inggeris dari India di bawah program Jurulatih Pakar Pembangunan Prestasi Sekolah (SISC+) bertujuan ditempatkan di beberapa sekolah luar bandar seluruh negara termasuk sekolah ‘hot spot’bagi membantu guru Bahasa Inggeris tempatan meningkatkan kompetensi di bawah dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).
Terdahulu, ketika berucap merasmikan Program Inovasi Usahawan Muda SME Bank Y-BIZ Challenge 2015 Mahdzir berkata program itu adalah contoh terbaik bagi pihak kerajaan dan swasta bekerjasama mencapai matlamat transformasi pendidikan di peringkat kebangsaan.
Katanya program itu selaras dengan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM) yang memberi penekanan terhadap perkembangan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).
"PPPM memberi penekanan terhadap elemen inovasi dan kreativiti menerusi pengukuhan aktiviti kokurikulum melalui Projek Inovasi Kelab atau Persatuan Sekolah.
"Program Y-BIZ Challenge anjuran SME Bank ini mempunyai elemen yang menjadikannya seiring dengan usaha Kementerian Pendidikan Malaysia untuk melahirkan generasi yang mampu membawa negara ke arah kecemerlangan," katanya.
Pengarah Urusan Kumpulan SME Bank Datuk Mohd Radzif Yunus berkata program itu bertujuan menggalakkan golongan muda untuk menceburi bidang keusahawanan dan menjadi titik mula untuk membentuk para pelajar.
"Modul program Inovasi Usahawan Muda SME Bank Y-BIZ Challenge telah melalui proses penambahbaikkan dan elemen-elemen perniagaan seperti sasaran pelanggan, kaedah pemasaran
Di majlis itu, Sekolah Menengah St. Michael, Penampang menjuarai pertandingan itu melalui inovasi produk "Go Green Pot", sekali gus melayakkan mereka untuk membawa pulang wang tunai RM15,000, trofi, piala pusingan dan sijil penyertaan serta tiket penerbangan bernilai RM25,000 untuk menyertai pertandingan di luar negara.
Tempat kedua dimenangi oleh Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra, Perlis dengan produk "Hydro Fertilizer" yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM15,000, trofi dan sijil penyertaan.
Manakala tempat ketiga dimenangi oleh Madrasah Idrisiah, Kuala Kangsar dengan produk "E-Pro Buster" dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000, trofi dan juga sijil penyertaan.
- Bernama