Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Setelah Amerika Syarikat dan Perancis, NGO Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW) hari ini mendedahkan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) turut menganjurkan program di Australia.

Pengarah NOW, Akmal Nasir pada sidang media mendakwa program itu menelan perbelanjaan RM218,505 dan daripada jumlah itu lebih satu pertiga dana datang daripada Yayasan Pembangunan Anak Yatim/Miskin (PEMANGKIN).

Beliau turut mendedahkan bahawa hampir satu pertiga daripada kos program itu adalah bagi membiayai beberapa peserta yang menaiki penerbangan kelas bisnes ke Australia.

Selain penerbangan kelas bisnes, kos program itu juga digunakan bagi membiayai penerbangan kelas ekonomi dan beberapa penerbangan lain ke Australia.

"Apakah rasional Yapeim terlibat dalam penganjuran program ke luar negara sebegini yang kosnya begitu mahal sedangkan hanya sebilangan kecil yang menerima manfaat?

"Apakah keperluan menaiki penerbangan kelas bisnes dan siapakah mereka yang menaiki penerbangan kelas bisnes?" soal Akmal pada sidang akhbarnya di Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya, tambang penerbangan kelas bisnes yang berjumlah RM70,000 itu adalah perbelanjaan paling mahal.

Beliau turut mengemukakan salinan dokumen yang diterimanya mengenai perbelanjaan program "Promoting Islamis: Values In Multi Culture and Religion: Future and Challenges" yang diadakan di Brisbane, Sydney dan Melbourne pada 16 hingga 26 Apriil tahun lalu.

Agihan perbelanjaan

Menurut Akmal, jumlah peserta yang disasarkan adalah seramai 50 sehingga 70 orang yang dikatakan terdiri daripada pelajar Malaysia yang menuntut di Australia.

Akmal berkata mengikut dokumen anggaran perbelanjaan dan agihan mengikut agensi Program Kembara Santun 2014, terdapat empat agensi Yapeim yang terbabit untuk menjayakan program ini iaitu Yayasan Pembangunan Anak Yatim/Miskin (PEMANGKIN), Yapeim, Institut Penyelidikan dan Perundingan Yapeim (INPUT) serta Ar-Rahnu.

Katanya, berdasarkan bukti-bukti dokumen tersebut, agihan perbelanjaan adalah seperti berikut:

(a) Pembiayaan melalui PEMANGKIN adalah RM73,800

(b) Pembiayaan melalui Yapeim adalah RM106,840

(c) Pembiayaan melalui INPUT adalah 25,215

(d) Pembiayaan melalui Ar-Rahnu adalah 12,650

Akmal menuntut pihak berkenaan menjawab benarkah agihan perbelanjaan seperti yang dinyatakan di atas.

Akmal juga mempertikaikan kenapakah pembiayaan melalui PEMANGKIN dan Yapeim adalah paling besar sedangkan agensi perniagaan Yapeim iaitu Ar-Rahnu hanya menampung sebahagian kecil daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan program di Australia?

PEMANGKIN tidak menanggung penerbangan kelas bisnes tetapi menanggung perbelanjaan kelas ekonomi sebanyak RM6,250 dan juga penerbangan lain yang jumlahnya RM9,560.

Fakir miskin

Akmal turut menuntut Lembaga Pemegang Amanah Yapeim dan menteri berkenaan iaitu Datuk Seri Jamil Khir Baharom supaya tampil menjawab soalan-soalan yang dikemukakan.

"Jika terdapat lebihan pendapatan sekalipun, wang tersebut haruslah disampaikan kepada mereka yang memerlukan seperti anak yatim, fakir dan miskin mengikut konsep amal jariah,” katanya.

Malaysiakini telah menghubungi Yapeim dan masih menunggu maklum balas daripada mereka.

Pada sidang akhbar itu, Akmal juga ditanya mengenai saman Jamil Khir terhadapnya, semalam kerana dakwaannya mengenai penyalahgunaan dana untuk anak yatim.

Akmal berkata beliau akan merujuk kepada peguamnya untuk tindakan selanjutnya.

"Saya hanya seorang pemberi maklumat, dia (Jamil Khir) ada hak untuk membawa perkara ini ke makhamah tetapi pada masa yang sama dia harus menjawab pelbagai persoalan yang dibangkitkan," kata Akmal.

Semalam, Jamil Khir memfailkan writ saman menerusi Tetuan Adnan Sharida & Associates di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Jamil Khir berkata tindakan saman itu bertujuan membersihkan nama dan sebagai usaha menghentikan budaya memfitnah yang dilakukan sewenang-wenangnya.

NOW sebelum ini mendakwa Yapeim membelanjakan dana RM410,978 untuk menampung lawatan Jamir Khir ke Amerika Syarikat dan juga dana RM290,000 untuk membiayai dua kursus perkahwinan di Paris, Perancis.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS