Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Banjir kilat landa JB, Shah Alam, Subang
Diterbitkan:  Nov 16, 2015 4:18 PM
Dikemaskini: 12:13 PM

Johor Bahru hari ini dilanda banjir kilat sehingga menyebabkan beberapa jalan utama di sekitar bandar raya lumpuh dengan puluhan kenderaan terkandas berikutan hujan lebat sejak 12 tengah hari ini.

Antara jalan berkenaan adalah Jalan Wong Ah Fook yang dinaiki air setinggi kira-kira 1.5 meter.

Kawasan ini adalah tumpuan orang ramai dan terletaknya pusat beli-belah utama Komtar JBCC dan City Square.

Turut terjejas adalah Jalan Meldrum, Jalan Siu Chin, Jalan Sulaiman, kawasan Stulang Darat dan Nong Chik.

Hujan lebat luarbiasa itu dilaporkan berterusan selama sejam sehingga menyebabkan banjir kilat.

Beberapa kawasan sekitar bandar raya itu seperti Jalam Kolam Ayer turut mengalami banjir kilat sehingga menyebabkan pergerakan trafik perlahan.

Selain Johor Bahru, Shah Alam juga dilaporkan dinaiki air selepas hujan lebat selama dua jam sejak jam 1 tengah hari tadi menyebabkan puluhan kereta tersangkut.

Portal Berita Harian Online melaporkan antara kawasan berkenaan adalah Seksyen 13, Seksyen 9, Seksyen U8 dan Batu Tiga, menyebabkan laluan berkenaan tidak dapat dilalui kenderaan ringan.

Pengguna jalan raya dan kakitangan beberapa kilang dan perusahaan kecil di sepanjang Jalan Astaka U8/88 juga tidak dapat melalui laluan berkenaan selepas air dari Sungai Damansara melimpah di atas jalan.

Perkhidmatan Komuter dan kereta api barangan juga terjejas apabila landasan berdekatan Stesen Batu Tiga ditenggelami air.

Jurucakap Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), ketika dihubungi, mengesahkan laluan berkenaan kini tidak dapat dilalui selain perkhidmatan Komuter terpaksa berpatah balik.

Manakala Bernama pula melaporkan s embilan kawasan di Shah Alam dan Klang mengalami banjir kilat akibat hujan lebat sejak tengah hari tadi, yang menyebabkan kesesakan lalu lintas setelah banyak jalan tidak dapat dilalui.

Penolong Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu bermula 1 tengah hari hingga jam 5.45 petang tadi.

Di Shah Alam, kawasan yang terlibat ialah Seksyen 13, Seksyen 20, Seksyen U8, Stesen Komuter Batu 3, Persiaran Kerjaya dan Tol Bukit Jelutong.

"Di Klang pula, lokasi terbabit ialah Kampung Bukit Kerayong, Taman Sentosa dan Jalan Kebun Nenas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sehingga jam 6 petang ini, keadaan masih terkawal dan tiada kerja-kerja pemindahan mangsa dilakukan.

Berdasarkan laporan, hanya KPJ Selangor Specialist Medical Centre di Seksyen 20 dilimpahi air dan bomba sedang menjalankan kerja mengepam air dari premis itu.

Di kawasan lain juga tiada mangsa terlibat memandangkan banjir hanya menghalang laluan jalan raya, katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS