Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PAS telah meneliti Bajet 2016 seperti yang telah dibentang oleh YAB perdana menteri, yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, di Dewan Rakyat pada 23 Oktober 2015 baru-baru ini.

Berikutan dengan itu, sebuah jawatankuasa terdiri dari kalangan pakar yang mempunyai kepelbagaian latar belakang telah dibentuk oleh Lajnah Ekonomi dan Pengurusan Harta PAS serta Pusat Penyelidikan PAS (PPP) untuk meneliti kandungan bajet tersebut.

Penelitian PAS terhadap bajet tersebut adalah dengan objektif paling utama, iaitu untuk memastikan agar perancangan dalam bajet tersebut tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip Islam seterusnya kepentingan rakyat diberi keutamaan dalam kesemua aspek.

PAS juga meletakkan objektif penelitian bajet tersebut dengan hasrat agar dapat memberi cadangan dan penambahbaikan yang difikirkan perlu, khasnya dalam konteks membawa kesejahteraan serta mengurangkan bebanan rakyat.

Ke arah mencapai hasrat tersebut, PAS telah menyediakan sebuah dokumen bagi menjelaskan cadangan-cadangan PAS secara lebih spesifik berteraskan kepada prinsip-prinsip yang digariskan oleh Islam.

Dokumen ini akan diserahkan kepada kerajaan Malaysia dalam tempoh terdekat dan akan disebarkan kepada umum selepas itu.

PAS berharap agar pihak kerajaan dapat memberi perhatian yang sewajarnya kepada cadangan-cadangan ini, serta memberi pertimbangan secara profesional demi kepentingan negara dan rakyat.

Kenyataan media ini bertujuan memberi makluman awal, secara ringkas kepada pihak media berkaitan maklum balas PAS terhadap bajet 2016.

Prinsip-prinsip Islam

Dalam menguruskan ekonomi termasuk berkaitan belanjawan oleh sesebuah pemerintah, PAS ingin menegaskan beberapa prinsip-prinsip penting yang dilihat tidak dijadikan panduan dalam menyediakan belanjawan negara kali ini:

(1) Harta negara tidak boleh berlegar dalam kalangan golongan kaya sahaja. Prinsip ini jelas dinaskan dalam al-Quran al-Karim pada ayat 7 surah al-Hasyr yang bermaksud:

“(Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar antara orang-orang kaya dari kalangan kamu.”

(2) Cukai diambil daripada lebihan golongan kaya untuk diagihkan kepada golongan miskin.

Prinsip ini adalah berdalilkan kepada sabda Rasulullah SAW kepada Muaz Bin Jabal RA ketika baginda menghantarnya sebagai Gabenor di Yaman. Sabda Baginda SAW:

“Beritahulah kepada mereka (penduduk Yaman) bahawa Allah telah mewajibkan mereka membayar zakat (cukai Islam) pada harta-harta mereka, ia diambil daripada golongan kaya mereka untuk diagihkan kepada golongan miskin mereka.” (Riwayat al-Bukhari).

(3) Golongan fakir dan miskin adalah dua sasaran utama sistem ekonomi Islam.

Prinsip ini adalah berdalilkan ayat al-Quran surah al-Taubah ayat 60 di samping hadis di atas.

Maklum balas umum

Secara keseluruhannya PAS melihat kandungan Bajet 2016 ini merangkumi kesemua elemen penting bagi pembangunan negara.

PAS memperakui terdapat beberapa elemen bajet yang mampu memberi kesejahteraan kepada rakyat.

Bagaimanapun, PAS melihat terdapat ketidakpatuhan kepada prinsip syariat Islam yang agak ketara terutamanya dalam pelaksanaan GST yang telah mengenakan cukai kepada golongan faqir dan miskin.

Justeru bajet ini dilihat sebagai “bajet menyenangkan kerajaan tetapi menyusahkan rakyat”.

PAS juga mendapati wujud sekurang-kurangnya dua aspek besar pengurusan ekonomi negara yang sebenarnya boleh ditangani secara lebih berkesan, iaitu aspek kejatuhan nilai ringgit, dan aspek kos sara hidup rakyat.

Ringkasan cadangan balas

Bagi tujuan mengelakkan perlanggaran prinsip-prinsip syariat Islam dalam Bajet 2016, PAS sebagai sebuah parti Islam yang bertanggungjawab, mengusulkan cadangan-cadangan penyelesaian kepada tiga masalah utama yang dikemukakan oleh Bajet 2016 seperti berikut:

(1) Penyelesaian kepada masalah kejatuhan harga petroleum dan kesilapan kerajaan Malaysia bergantung kepada GST sebagai sumber alternatif pendapatan negara.

Cukai atas simpanan syarikat dan korporat ( tax on saving)

Cukai perdagangan saham di bursa saham Malaysia ( tax on share trading )

(2) Penyelesaian kepada masalah kejatuhan mata wang ringgit dan kesannya kepada perbelanjaaan negara dan rakyat.

Penggantian import ( import substitution ) untuk tempoh terhad

Penelitian semula kontrak kerajaan ( value enginering )

(3) Penyelesaian kepada masalah kenaikan kos hidup rakyat, iaitu secara lebih khusus kemelut berkaitan pemilikan rumah yang dihadapi oleh sebahagian besar masyarakat.

Pemberian elaun kos sara hidup (COLA) oleh majikan swasta

Projek ‘mampu memiliki rumah’ ( affordable home ownership )

Butiran lebih terperinci pelaksanaan cadangan-cadangan ini terdapat dalam dokumen yang akan diserahkan kepada kerajaan Malaysia dan diumumkan kemudiannya kepada rakyat.


DATUK SERI ABDUL HADI AWANG presiden PAS.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS