Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
NGO mahu polis siasat dakwaan salah guna dana Yapeim

Satu laporan polis berhubung dakwaan salah guna wang anak yatim di bawah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) dibuat hari ini oleh Pengarah Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW) Akmal Nasir.

Menurut Akmal, laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini bertujuan supaya satu kertas siasatan dibuka terhadap Yapiem.

Katanya, siasatan perlu dibuat terhadap yayasan Islam tersebut, menteri yang bertanggungjawab serta ahli lembaga pemegang amanah Yapeim.

"Laporan polis ini dibuat bagi satu kertas siasatan dibuka dan siasatan dibuat.

"Laporan polis hari ini juga sebenarnya nak minta supaya pihak berkenaan disiasat sama ada berlaku salah guna kedudukan atau pecah amanah.

"Sebab itu kita harap agar pihak polis boleh mula buat siasatan dan merungkai masalah atau skandal yang dilakukan," katanya kepada pemberita di IPD Dang Wangi.

Pada Jumaat lalu, Akmal mendakwa seorang menteri Umno ke Amerika Syarikat dengan perbelanjaan RM410,978 didakwa dibayar oleh Yapeim melalui dana sebuah anak syarikat yang sepatutnya digunakan untuk anak yatim dan kanak-kanak miskin.

Malah, Akmal turut mendakwa lawatan ke Washington DC, Iowa dan Minnesota daripada 21 hingga 29 Mei 2014 itu membabitkan aktiviti golf dan kunjungan ke pusat membeli-belah.

Bagaimanapun, semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menuntut Akmal memohon maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam atau beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.

Jamil berkata dakwaan tersebut adalah satu kenyataan jahat berupa fitnah dan menyimpang daripada fakta sebenar.

Akmal bagaimanapun enggan meminta maaf sebaliknya membuat laporan polis pada hari ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS