Di tengah-tengah asakan terhadap pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, veteran DAP membangkitkan persoalan sama ada nasib Tun Dr Mahathir Mohamad juga akan berakhir di penjara.
Ketua parlimen DAP Lim Kit Siang membangkitkan sama ada Mahathir akan mengikut jejak langkah musuh politiknya sebelum ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Adakah Mahathir akan berakhir dalam sel sebelah Anwar di penjara selepas kenyataan mengejutkan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak?” soal Lim.
Salleh kelmarin berkata jika idea Mahathir bahawa gaya hidup mewah boleh digunakan sebagai bukti rasuah, maka bekas perdana menteri itu sendiri mungkin akan masuk penjara.
Beliau berkata keluarga Mahathir sendiri terlibat mengamalkan gaya hidup mewah.
Mahathir sebelum ini pernah berganding mentadbir negara ini sebagai perdana menteri dan timbalan perdana menteri sehinggalah Anwar dipecat pada 1998.
Anwar kini sedang menjalani hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Sementara itu, Lim juga membangkitkan kemungkinan gandingan baru Anwar-Mahathir untuk menyelamatkan Malaysia daripada pelbagai masalah politik, ekonomi dan urus tadbir.