Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Husam soal Idris: Gaji naik YB buka pintu?
Diterbitkan:  Nov 5, 2015 5:56 PM
Dikemaskini: 10:03 AM

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor Datuk Husam Musa menolak logik Naib Presiden PAS Datuk Idris Ahmad yang mempertahankan kenaikan elaun wakil rakyat Kelantan.

Husam terus bersikap sinis dengan berkata beliau tidak sangka Idris ( gambar ) seorang yang “melucukan dan sangat pro kenaikan gaji wakil rakyat”.

“Dasar kesederhanaan pemimpin yang dianjurkan oleh PAS nampaknya dah sirna belum sepenggal bergelar YB.

“Gaji wakil rakyat besar, senanglah rakyat - itu logik YB Bukit Gantang (Idris). Ya kah begitu?

“Ada sesetengah wakil rakyat, pintu pagar rumahnya pada kebanyakan masa berkunci.

Bila gaji sudah naik, pintunya akan terbuka?” soal Husam, seorang naib presiden PAS sebelum Idris.

Sinar Online semalam melaporkan Idris sebagai berkata kerajaan Kelantan sudah mengambil kira pelbagai faktor sebelum menaikkan elaun ADUN, exco, timbalan, menteri besar dan speaker yang berkuat kuasa Januari depan.

Beliau berkata wang wang yang diperoleh itu akan turut berakhir di tangan rakyat, antaranya melalui bantuan kepada golongan susah.

Tunggakan 16 bulan guru YIK

Dalam kenyataannya di Facebook hari ini, Husam, anak didik ikon perjuangan PAS allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat, membangkitkan masa kenaikan itu ketika banyak lagi perkara belum selesai.

Husam antaranya membangkitkan soal banyak lagi rumah yang dihanyutkan banjir besar tahun lalu belum terbina, selain beberapa bayaran tertunggak kerajaan negeri.

“Tunggakan guru YIK (Yayasan Islam Kelantan) belum berbayar sejak 16 bulan. Bayaran pencarum kifalah juga tertunggak. Peserta Ladang Rakyat belum menerima dividen,” kata bekas exco ekonomi negeri itu.

Husam berhujah isu kenaikan gaji sebenarnya masih boleh disemak selepas ini kerana pada Mac depan DUN Kelantan akan bersidang lagi.

Ketika itu, katanya, sebahagian besar isu yang dibangkitkannya mungkin telah diselesaikan.

“Lima bulan sahaja untuk bersabar berbanding sudah sepuluh bulan lebih rakyat dilanda bah menunggu.

“Itulah pengorbanan, kalau pun hendak dikira sebagai berkorban. Dengan itu, imej pejuang Islam di mata rakyat tidak rosak,” katanya.

Beliau mengingatkan bahawa PAS mengajar untuk mengutamakan kewajipan kepada rakyat terlebih dahulu.

Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 2 November lalu meluluskan meminda Rang Undang-undang Enakmen Saraan Anggota-Anggota Pentadbiran dan ADUN 1980 (Pindaan 2015).

Ia membabitkan kenaikan elaun menteri besar daripada RM12,800 kepada RM15,000 sebulan, timbalan menteri besar, (RM8,800 kepada RM13,000), exco serta speaker DUN, (RM6,000 kepada RM10,000) dan ADUN (RM4,600 kepada RM8,000).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS