Pendebat terbaik Asia Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengkritik sikap DAP dalam isu cabaran debatnya dengan presiden 1MDB Arul Kanda Kandsamy.
Syed Saddiq membuat ulasan itu selepas Setiausaha Penganjur DAP Anthony Loke tidak membenarkan anggota parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berundur daripada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) jika mahu berdebat dengan Arul.
Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia menegaskan Pua, seorang anggota PAC, tidak boleh berdebat dengan Arul kerana 1MDB sedang disiasat jawatankuasa itu.
Syed Saddiq bagaimanapun berkata, Pua sedia maklum terhadap kesan berkaitan apabila mencabar Arul berdebat.
“Kepada DAP, kamu mula dengan menghina pengarah eksekutif 1MDB kerana takut, orang yang tiada integriti, takut diletakkan bawah perhatian umum.
“Kamu hantar pahlawan mengilap perisai untuk mencabar pihak yang dikatakan pengecut ini. Pahlawan ini dinamakan Tony Pua.
“Pahlawan ini menggelar pihak dikatakan 'pengecut' itu sebagai 'pelawak'.
“Sebelum pelawak ini terima cabaran untuk tampil secara langsung dalam debat 1MDB, pahlawan ini sudah dimaklumkan kesan yang mungkin akibat tindakannya, daripada konflik kepentingan kepada kemungkinan pengangkutan, masih putuskan untuk teruskannya,” katanya.
Bagaimanapun, kata Syed Saddiq, DAP nampaknya seperti mencari jalan untuk keluar daripada kemungkinan dimalukan Arul, yang juga seorang pembahas yang bagus.