Pengerusi CIMB Datuk Nazir Razak mengakui adalah sukar untuk mempromosikan Malaysia ketika negara dilanda skandal 1MDB dan isu-isu lain.
"Saya telah lama mempromosikan Malaysia tetapi tidak pernah tugas itu menjadi lebih sukar seperti sekarang kerana 1MDB dan isu-isu berkaitan," katanya dalam posting di Instagram.
Nazir berkata demikian menjelang ucapannya Isnin depan di Persidangan Pelabur CIMB di London di mana beliau akan bercakap mengenai politik dan ekonomi Asean.
Beliau juga memuat naik gambarnya di London pada tahun 1992 ketika menyertai program kempen jelajah menarik pelaburan pertamanya.
Nazir telah sekian lama begitu lantang mengkritik 1MDB yang diilhamkan abangnya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Syarikat pelaburan negara 1MDB itu kini bergelut untuk membayar semula hutang US$11 bilion di sebalik tuduhan penyelewengan dananya.
Kenyataan Nazir itu jelas bercanggah dengan jawapan Najib di Dewan Rakyat yang menyatakan bahawa iIsu 1MDB bukan faktor penghalang kemasukan pelaburan asing ke Malaysia.
Malah menurut beliau, jumlah pelaburan asing sebenarnya telah meningkat.
"Isu 1MDB bukan faktor penghalang kemasukan pelaburan ke Malaysia, malah perangkaan terkini menunjukkan para pelabur masih mempunyai keyakinan terhadap ekonomi Malaysia yang mapan," kata Najib yang juga adalah Menteri Kewangan.
Dalam jawapan bertulisnya di parlimen, minggu lalu itu, katanya, Malaysia menerima sebanyak RM22.4 bilion dalam pelaburan langsung asing (FDI) pada separuh pertama 2015, berbanding RM17.5 bilion bagi tempoh yang sama tahun lalu.