Timbalan Bendahari DAP Selangor, Lau Weng San menggesa supaya Menteri Besar Mohamed Azmin Ali suapaya mengiktiraf bahawa kerajaan negeri Selangor kini adalah diterajui oleh Pakatan Harapan.
Menurut Lau yang juga adalah ADUN Kampung Tunku, perkara itu perlu dijelaskan memandangkan kerajaan Selangor kini dipimpin oleh parti yang bergabung dalam Pakatan Harapan iaitu PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) manakala PAS tiada dalam gabungan itu.
"Satu fakta yang harus diterima ialah kerajaan Selangor sekarang dipimpin oleh PKR, AMANAH, DAP dan PAS.
"PKR, DAP dan AMANAH pula bergabung di bawah Pakatan Harapan.
"Oleh itu, menteri besar perlu tegas bahawa kerajaan Selangor sekarang bernama kerajaan Pakatan Harapan," katanya pada sidang media di lobi Bangunan Annex, Shah Alam hari ini.
Ahad lalu, perwakilan DAP Selangor mencadangkan supaya kerajaan negeri memecat semua wakil rakyat PAS dalam pentadbiran negeri bagi menyelesaikan kebuntuan gabungan pembangkang di negeri itu.
Azmin bagaimanapun sebelum ini berkata, pembentukan Pakatan harapan tiada kaitan dengan pentadbiran kerajaan Selangor.
Beliau berkata, pembentukan gabungan itu hanya membabitkan perancangan politik bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Malah, katanya, tidak perlu pembentukan Pakatan Harapan di Selangor seperti yang dilaksanakan di Pulau Pinang kerana senario politik di kedua-dua negeri adalah berbeza .
PKR Selangor juga mempertahankan keputusan mengekalkan wakil rakyat PAS dalam kerajaan negeri itu dan menegaskan ia tidak dibuat untuk kepentingan peribadi Azmin.
Ini kerana ia selaras dengan resolusi Majlis Pimpinan Pusat bulan lalu yang menuntut hubungan kerjasama dengan semua parti politik termasuk mengukuhkan pembangkang di peringkat pusat dan negeri.