Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hadi: PAS sedia jadi penasihat k'jaan, bukan gila kuasa
Diterbitkan:  Nov 1, 2015 11:52 AM
Dikemaskini: 3:55 AM

PAS sedia menjadi penasihat kepada kerajaan sekiranya Umno mengubah dasar pemerintahan mereka, kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata perjuangan PAS kini berpaksi kepada mengubah dasar pemerintahan kerajaan, bukan semata-mata ingin merebut jawatan dan mahu memerintah negara, lapor Sinar Harian hari ini.

"PAS sedia menjadi penasihat dan pembantu sekiranya Umno ubah dasar pemerintahan. Kita bukan gilakan kuasa atau mahu kuasai Putrajaya. Sekiranya mereka enggan terima nasihat atau pandangan, barulah kita ambil pendekatan lain iaitu ambil alih pemerintahan.

"Kita sekarang mahu perbetulkan kerajaan, bukan mahu ikat kerajaan atau berebut jawatan. Kita sekarang bukan mahu jatuhkan perdana menteri tetapi mahu perbetulkan dasar yang dibawa," kata Hadi seperti dilaporkan akhbar itu.

Laporan itu juga menyebut, Abdul Hadi berkata terdapat kaedah lain bagi menjatuhkan perdana mengeru sama ada melalui pilihan raya atau undi tidak percaya.

"Hari ini, daripada 220 kerusi 89 adalah milik pembangkang. Persoalannya adakah dengan jumlah itu ia bolehkah menjatuhkan beliau (Najib) ddengan undi tidak percaya? Kecualilah jika orang-orang Umno undi bersama," katanya.

Akhbar itu juga menyebut, Hadi berkata beliau pada dasarnya bersetuju dengan bantuan kerajaan terhadap rakyat, tetapi tidak bersetuju dengan cara perlaksanaan dan pengurusan bantuan itu kerana didakwanya berlaku banyak kepincangan.

"Setuju dengan Umno bukan bermaksud kita akan jalankan kerjasama politik dengan mereka kerana PAS lebih selesa duduk di luar BN, bukan di dalam BN malah kita tidak akan bergabung dengan Umno.

"Sebagai langkah untuk perbetulkan kerajaan, PAS sedia menghantar pasukan untuk berbincang dengan Umno baik mengenai isu berbangkit seperti GST, perumahan, kejatuhan ringgit dan sebagainya,” Hadi dilaporkan sebagai berkata.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS