Walaupun Umno dilaporkan mahu bertindak ke atas timbalan presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin, ahli Majlis Tertinggi Datuk Seri Nazri Abdul Aziz memberi jaminan bahawa beliau akan melakukan apa yang terdaya supaya pemimpin veteran itu tidak digantung.
Katanya, parti Melayu itu harus berjiwa besar untuk membenarkan perbezaan pendapat di kalangan ahli-ahlinya.
"Kami sepatutnya adakan mesyuarat Majlis Tertinggi hari ini (30 Oktober). Tetapi dalam mesyuarat akan datang, saya akan bersuara. Saya akan usahakan terbaik supaya dia (Muhyiddin) tidak digantung.
"Sebagai sebuah parti yang bakal meraikan ulang tahun ke-70 tahun depan, kita mesti mempunyai ruang yang cukup untuk menerima pendapat yang berbeza," katanya kepada Malaysiakini semalam.
"Jika Muhyiddin mahu melakukan ini (menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak), sudah lama beliau akan dilakukannya dulu bersama (Tun) Dr Mahathir Mohamad,” katanya.
Beliau juga berkata Muhyiddin harus dibiarkan kekal sebagai timbalan presiden sehingga pemilihan parti akan datang.
"Biarlah dia berkhidmat hingga tempoh penggalnya berakhir. Kemudian, saya akan minta Zahid (Naib Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) untuk melawannya. Saya pasti Muhyiddin akan kalah," katanya.
Nazri bagaimanapun mengakui beliau tidak tahu mengenai dakwaan Umno akan bertindak terhadap Muhyiddin.