Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tujuh pemimpin misteri Umno yang dipantau untuk tindakan disiplin mungkin digantung jawatan dan keanggotaan dalam parti itu.

Setiausaha agung parti itu Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata langkah itu akan diambil selepas proses berkaitan selesai dibuat.

Bercakap kepada pemberita di luar parlimen hari ini, anggota parlimen Putrajaya berkata mereka sudah penat melayan anggota yang mengeluarkan kenyataan yang tidak sesuai kepada orang umum.

Menjawab soalan, beliau berkata hanya sebahagian daripada tujuh anggota Umno itu mempunyai kedudukan.

Ditanya bila tindakan itu akan diambil, Tengku Adnan atau lebih dikenali sebagai Ku Nan tidak memberikan jawapan putus.

Sebaliknya, kata beliau, perkara itu akan diteliti.

Tengku Adnan pada 5 Oktober lalu mendedahkan pemantauan parti itu terhadap tujuh pemimpinnya yang berpotensi dituduh melanggar disiplin.

Beliau tidak menyenaraikan nama tujuh individu itu.

Tengku Adnan bagaimanapun memberitahu perkara itu ketika ditanya kenapa tiada tindakan diambil terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad yang secara terbuka menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berundur.

Kenyataan Tengku Adnan itu mencetuskan tanda tanya berhubung identiti pihak.

Beberapa pemimpin Umno dilihat lantang terhadap pentadbiran Najib Razak mungkin mengisi senarai itu.

Mereka mungkin Mahathir, timbalan presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin, naib presiden Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Selain itu, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir turut disebut-sebut, di samping bekas setiausaha agung Umno Tan Sri Sanusi Junid dan bekas ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS