Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
GST terbukti penyelamat ekonomi Malaysia - Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sekali lagi menegaskan bahawa cukai barangan dan perkhidmatan (GST) adalah penyelamat ekonomi Malaysia, walaupun ia tidak popular.

Katanya hasil kutipan GST dapat menampung kekurangan hasil kerajaan khususnya akibat kejatuhan harga minyak mentah dunia.

"Senario ini (kejatuhan harga minyak) di luar kawalan kita tetapi syukurlah kita dapat menampung kekurangan hasil kerajaan kerana kita berani memperkenalkan GST.

"Walaupun orang kata kerajaan tak patut laksanakan GST atau menyusahkan rakyat tetapi hakikatnya GST adalah penyelamat kepada ekonomi negara kita," katanya ketika membuka pusat membeli belah Nu Sentral dan Menara 1 Sentrum milik Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata jika ekonomi Malaysia merudum kesannya termasuk kadar pinjaman akan menjadi lebih tinggi sekaligus menyebabkan rakyat menanggung kesusahan.

Najib berkata walaupun tindakan yang diambil kerajaan tidak bersifat populis namun ia dibuat demi tanggungjawab menjaga kepentingan rakyat dan negara.

"Jika kita hanya melihat sepintas lalu, mungkin kita tidak menyedari bahawa langkah kerajaan yang dibidas sebagai tidak munasabah atau menyebabkan orang ramai sengsara sebenarnya adalah sebaliknya.

"Dan hari ini, telah terbukti bahawa GST adalah satu langkah yang wajar dan betul," katanya.

Perdana Menteri berkata melalui Bajet 2016, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi membantu rakyat termasuk anak-anak yang menyara ibu bapa diberi pelepasan cukai terkumpul sebanyak RM1,500, masing-masing untuk ibu dan bapa.

"Ini sekaligus dapat menggalakkan sifat penyayang kepada ibu bapa dan bukanlah meninggalkan mereka di rumah warga tua," katanya.

Ekonomi Bumiputera

Dalam pada itu, Najib berkata PHB telah mencapai kejayaan dalam membangunkan ekonomi Bumiputera sejak beroperasi pada 2007.

Beliau berkata kewujudan pusat membeli belah Nu Sentral dan bangunan pejabat Menara 1 Sentrum membolehkan usahawan Bumiputera berkongsi limpahan rahmat pembangunan negara.

"Kedudukan pusat membeli belah ini yang bersebelahan dengan KL Sentral amat strategik kerana beribu-ribu pengguna menggunakan hub pengangkutan ini," katanya.

Beliau berkata kerajaan melalui PHB juga akan melancarkan unit-unit amanah dari semasa ke semasa bagi memberi peluang kepada Bumiputera melabur dalam sektor hartanah.

Terdahulu, Najib meluangkan masa beramah mesra dengan penyewa di Nu Sentral serta sempat membeli sepasang kasut sukan.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS