Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Sabah dan Sarawak sememangnya layak menerima peruntukan lebih kali ini dalam bajet 2016.

Katanya, lebihan bajet itu diberikan bukan untuk memenangi pilihan raya negeri Sarawak yang akan datang.

"Ini bukan kerana membeli undi, ini pun bukan sebab nak menang dalam pilihan raya negeri mahupun... tetapi ini kerana kerajaan prihatin dengan rakyat di Sabah dan Sarawak.

"Jadi kita berikan keperluan yang sepatutnya kita berikan (kepada mereka)," katanya.

Zahid berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Hari Pengguna Kebangsaan dan Kempen Cintai Buatan Malaysia di Dataran Merdeka petang ini.

Zahid sebelum ini mengakui bahawa bajet 2016 yang dibentangkan Jumaat lalu merupakan belanjawan antaranya bagi memenangi pilihan raya negeri Sarawak yang akan datang.

Bukan bajet Robin Hood

Sementara itu, Zahid mengulas mengenai kenyataan bahawa bajet 2016 tidak seharusnya dirujuk sebagai belanjawan 'Robin Hood'.

Ia berikutan cadangan kerajaan untuk menaikkan kadar cukai 20 peratus terhadap kumpulan berpendapatan tinggi.

Kata Zahid kerajaan tidak merampas atau mengagihkan semula pendapatan sebaliknya ia penstrukturan percukaian yang terdapat di negara membangun.

“Ini bukan merampas atau pengagihan semula pendapatan. Ini adalah struktur percukaian yang progresif terdapat di negara membangun dan maju

Mengulas lanjut, katanya, istilah’ Robin hood’ merupakan definisi yang diberikan oleh mereka yang kurang senang dengan cadangan kerajaan.

“Itu istilah orang yang tidak senang, mereka merujuk kepada cukai yang ditambah terhadap orang berpendapatan tinggi.

“Kita dapati di beberapa negara ada takrif percukaian yang lebih tinggi dari Malaysia, ada negara yang hingga 50 peratus, dan saya fikir itu tak akan pernah berlaku di Malaysia.

“Jangan guna istilah pelbagai untuk beri gambaran buruk kepada dasar percukaian,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS