Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan pendahulunya Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya berhenti bernostalgia terhadap perkara yang tidak menjadi realiti.

“Saya hormati apa yang dilontarkan dan hormati perasaan beliau.

“Namun saya fikir, realiti yang harus dihadapi, kita tidak perlu bernostalgia terhadap sesuatu yang pernah berlaku tapi tak jadi realiti,” katanya.

Zahid berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Hari Pengguna Kebangsaan dan Kempen Cintai Buatan Malaysia di Dataran Merdeka petang ini.

Muhyiddin semalam dilapor mengimbau kesetiaannya sehingga memberi laluan kepada Najib menggantikan Abdullah walaupun mendapat sokongan Mahathir.

Muhyiddin juga berkata beliau terus membantu Najib sebagai orang nombor dua “sehinggalah sampai pada peristiwa 1MDB yang timbul”.

Zahid yang juga naib presiden Umno berkata, rakyat harus menyokong terhadap kepimpinan sedia ada kerana ia telah ditentukan rakyat.

"Kita harus berikan dukungan terhadap kepimpinan yang ada sekarang ini kerana itulah yang ditentukan rakyat dalam pilihan raya umum (PRU) lalu," katanya.

'Boleh tawar diri pada pihak lain'

Malah beliau turut menggalakkan agar mana-mana pihak yang merasakan mereka lebih baik daripada sesetengah individu, membuktikannya dalam PRU akan datang.

"Kalau mana-mana individu yang tidak merasakan seseorang itu harus berada di tampuk kepimpinan, orang itu bolehlah tawarkan diri kepada organisasi lain.

"Dan buktikan kepada rakyat individu itu lebih baik dari tampuk kepimpinan yang ada. Eloklah kita tunggu PRU untuk bersama-sama melihat di manakah pilihan rakyat ketika itu," kata Zahid.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS