Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau reda dengan segala perkara yang terjadi terhadap dirinya kebelakangan ini.

Timbalan Presiden Umno itu berkata, sebagai seorang yang beragama Islam dan anak kepada "tok guru", beliau reda dengan ketentuan serta qada dan qadar Tuhan.

"Tak apalah saya menerima apa sahaja orang kata. Keputusan atau perkara yang sudah ditakdirkan kepada saya, dengan reda saya terima kerana saya seorang Islam. Saya tahu qada dan qadar.

"Apa yang berlaku pada saya sesuatu yang ditakdirkan. Kita harus reda," katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi soal jawab ketika majlis minum petang anjuran Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) di ibu negara hari ini.

Muhyiddin ditanya oleh seorang hadirin sama ada beliau ingin mengembalikan maruahnya kerana didapati tidak bersalah kerana bercakap mengenai isu 1MDB.

'Adakah itu salah?'

Selain itu, menyentuh isu 1MDB, Muhyiddin berkata beliau hanya menegur.

Menceritakan kembali mengenai video ucapannya di Janda Baik ( gambar ) yang tersebar di laman sosial, anggota parlimen Pagoh itu berkata, beliau hanya memberi teguran.

Ia berikutan isu 1MDB pada ketika itu diperkatakan secara meluas oleh semua pihak.

"Isu itu dibincang meluas jadi agak janggal kalau saya tak bincang.

“Waktu itu saya pun dah tahu jadi saya sentuh termasuklah tindakan sewajarnya yang boleh diambil kerana disebabkan salahlaku 1MDB, presiden kita tanggung beban.

"Adakah itu kesalahan? Wallahua'lam," ujarnya lagi.

Muhyiddin digugur sebagai timbalan perdana menteri Julai lalu bersama bekas menteri pembangunan luar bandar dan wilayah Datuk Seri Shafie Apdal yang juga naib presiden Umno.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS