Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB: Umno harus didukung pemimpin boleh diteladani
Diterbitkan:  Oct 16, 2015 3:14 PM
Dikemaskini: 7:25 AM

Pemimpin Umno Johor Datuk Seri Khaled Nordin menyeru kembali ke arah pengislahan Umno, melalui pengukuhan pemikiran dengan membuka pintu kepada lebih ramai golongan profesional.

Menteri besar Johor berkata, golongan profesional lazimnya dihormati dan diteladani masyarakat dan kewibawaan golongan terpelajar harus menjadi pemangkin kepercayaan kepada parti.

“Justeru, Umno mesti didukung dan dipimpin oleh mereka yang disegani dan boleh diteladani oleh masyarakat.

“Akhir sekali, kita memilih untuk mengajak golongan profesional mengambil tanggungjawab dalam pengislahan Umno,” katanya.

Dalam tulisannya hari ini, Khaled berkata, generasi baru harus diwariskan dengan pemimpin yang pemimpin yang berilmu, berintegriti dan mempunyai visi dan jiwa besar.

“Sampai bila kita hanya mahu mengungkit-ungkit dan mengingatkan tentang kejayaan masa silam.

“Sudah tiba masanya untuk kita pula yang merencana dan mencipta sejarah Umno yang baharu.

“Kesemua ini boleh dilakukan jika semua pihak dalam Umno, terutama sekali golongan profesional, diberikan ruang dan kepercayaan sewajarnya,” katanya sambil menegaskan Umno perlu ramai pemikir.

Beliau bagaimanapun berkata, pengislahan Umno wajar diimbangi secara kolektif dengan pengalaman dan ‘kebijaksanaan’ anggota lebih berpengalaman.

Sementara itu, Khaled juga mengumumkan bahawa Umno Johor baru-baru ini melancarkan penubuhan sebuah institut pemikir milik Rumah Amanah.

Badan dimiliki sepenuhnya oleh Umno negeri itu akan berperanan menjadi sumber rujukan Umno Johor dalam meneroka dasar-dasar baharu, memperkasa dasar-dasar sedia ada dan menyusun agenda lebih strategik dalam perjuangan orang Melayu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS