Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, PKR melakukan kesilapan dengan menerima keanggotaan Datuk Saifuddin Abdullah kerana beliau selama ini menyusahkan Umno dan BN.

"Dia yang mahu meninggalkan Umno. Semoga tuhan berkati dia.

"Saya rasa PKR melakukan kesilapan dengan menerimanya. Dia (Saifuddin) kalah di Temerloh (semasa pilihan raya umum lalu)," katanya kepada Malaysiakini ketika diminta mengulas penyertaan Saifuddin bersama PKR hari ini.

"Ini bukan kehilangan bagi Umno dan BN. Dia sentiasa jadi liabiliti," katanya tetapi mengakui bahawa Saifuddin seorang yang baik.

Tengku Adnan juga menolak dakwaan Saifuddin sebelum ini yang mendakwa bahawa orang ramai tidak mengundinya pada pilihan raya lalu kerana kecewa dengan Umno.

"Terus teranglah, semua rakyat mahukan calon yang disukai, bukan kerana parti mereka," katanya.

Menurut Tengku Adnan keahlian bekas timbalan menteri pengajian tinggi itu di dalam Umno secara automatik gugur selepas menyertai PKR.

Saifuddin sebelum ini diberi surat tunjuk sebab oleh Umno kerana menghadiri persidangan meja bulat pembangkang pada 22 September lalu.

Mesyuarat meja bulat itu menyaksikan pembentukan pakatan pembangkang yang baru iaitu Pakatan Harapan.

Pada sidang media hari ini, Saifuddin memberitahu bahawa tindakannya keluar parti adalah disebabkan kerana tiada tindakan yang dikenakan terhadap Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak berhubung wang yang dideposit ke akaun peribadinya berjumlah RM2.6 bilion.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS