Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu Mohd Ali Baharom mencabar bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bertanding kerusi Pekan dalam pilihan raya umum akan datang.
Mohd Ali membuat cabaran itu selepas Dr Mahahtir yang juga bekas presiden Umno, meminta rakyat di Parlimen Pekan tidak lagi mengundi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dalam pilihan raya umum akan datang.
Parlimen Pekan diwakili Najib yang merupakan antara kubu kuat BN di Pahang.
"Saya cabar Tun M bertanding (dalam pilihan raya) di parlimen Pekan," kata Mohd Ali lebih dikenali 'Ali Tinju' .
"Kalau Tun M anak jantan turunlah," katanya lagi dalam sidang medianya di Ampang hari ini.
Mendakwa Najib sebagai pencuri, Dr Mahathir pada Sabtu lalu menggesa pengundi Pekan memastikan Najib kalah dalam pilihan raya akan datang.
Bercakap dalam sesi soal jawab di majlis minum petang di Hotel De Palma Ampang, bekas perdana menteri selama 22 tahun itu berkata Najib sebenarnya enggan meletak jawatan kerana "takut".
Mengulas lanjut, Mohd Ali mendesak polis menangkap dan menyiasat Dr Mahahtir yang didakwanya menghasut rakyat supaya membenci perdana menteri.
Beliau juga mempersoalkan mengapa polis tidak mengambil tindakan terhadap Dr Mahathir yang secara jelas menuduh Najib sebagai pencuri.
"Tidak ada satu tindakan oleh pihak berkuasa untuk memanggil dan menyiasat Tun M yang didakwa menghasut kerana dengan jelas Tun M mengatakan Najib mencuri," katanya.
Mohd Ali juga mendesak Dr Mahathir tampil memberi penjelasan berhubung dakwaan anak beliau memiliki kekayaan luar biasa hasil pengaruhnya sewaktu menjadi perdana menteri selama 22 tahun.
“Tun M harus beri penjelasan segera tentang hal ini. Banyak sidang media dah dibuat pelbagai pihak, namum Tun M masih berdiam diri,” katanya.
Katanya Mohd Ali lagi, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis perlu diberi kuasa untuk memulakan siasatan terhadap kedua-dua anak Mahathir itu.