Penyumbang derma Arab akan mahu publisiti jika mereka menderma RM2.6 bilion kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dakwa bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas presiden Umno itu juga berkata mereka tidak akan menyumbang jumlah sebesar itu secara senyap-senyap.
"Mereka bukan saja bagi, tapi bagi senyap-senyap, mereka tak beritahu dekat orang," katanya dalam satu majlis di Tawau, Sabah hari ini.
"Saya fikir orang Arab kalau dia nak bagi duit begitu banyak, dia nak panggil media, 'tengok kami bagi duit banyak dekat Najib'. Inilah namanya ego orang yang nak bagi duit," katanya lagi.
Satu video ucapannya dimuat naik oleh penulis blog Din Turtle.
Didedahkan pada tahun ini bahawa Najib didakwa menerima RM2.6 bilion yang didepositka ke akaun peribadinya menjelang pilihan raya umum ke2013.
Jumlah itu dikatakan sumbangan daripada penderma dari Timur Tengah yang didakwa sebagai penghargaan kepada usaha Malaysia membasmi terorism dan mengekalkan kuasa Umno.
Najib yang juga menteri kewangan mendakwa tiada elemen rasuah dalam sumbangan derma itu.