Di kesempatan ini saya Datuk Seri Chairul Anhar ingin menjelaskan beberapa perkara berbangkit berhubung salah faham di Malaysia beberapa hari ini.
Resepsi di Ritz Carlton Jakarta pada 19 September 2015 adalah bagi pihak anak perempuan saya, sedangkan resepsi bagi pihak anak lelaki Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dibuat pada 27 September 2015 di Kuala Lumpur.
Resepsi tersebut tentu 100 peratus dilakukan saya sebagai bapa kepada pengantin perempuan – mengadakan dan membiayainya.
Saya sebagai ahli perniagaan yang lebih 20 tahun menjalinkan hubungan perniagaan di Indonesia dan di Malaysia, tentu memiliki kawan-kawan yang ramai.
Semua tetamu yang datang baik dari Malaysia dan Indonesia saya yang menjemputnya.
Jadi sekali lagi saya tegaskan, acara saya ini adalah dari pihak pengantin perempuan, bukan acara besan saya iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Mengenai waktu perlaksanaan berdekatan dengan kunjungan rasmi TPM, itu bukan perancangan besan saya.
Kami pihak pengantin perempuan yang menyesuaikan dengan jadual waktu kunjungan TPM ke Jakarta, Indonesia.
Kami keluarga sebelah pengantin perempuan terpaksa mengikut jadual beliau kerana, sebagai seorang TPM Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid sangat sibuk dengan tugas-tugas kenegaraan di Malaysia dan beliau tidak mahu mengambil cuti khusus untuk acara resepsi anak.
Saya fikir pertimbangan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai negarawan adalah sangat bijaksana kerana beliau sayangkan waktu untuk menjalan tugas-tugas negara yang mulia.
Oleh sebab menunggu kesesuaian waktu dan jadual kunjungan TPM ke Jakarta sehingga mengakibatkan jarak antara pernikahan di Grand Hyatt Kuala Lumpur 26 Julai 2015 dan resepsi di Ritz Carlton Jakarta 19 September 2015, cukup jauh waktunya.
Jangan fitnah besan saya, kepada pihak-pihak yang melakukan fitnah yang sangat kejam kepada besan saya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Saya berdoa kepada Allah SWT semoga dosa besar mereka mendapatkan keampunan.
Saya berharap dengan perkahwinan anak dari dua bangsa Melayu serumpun ini akan dapat memberi manfaat yang sebesar-besarnya bagi kedua negara.
Amin ya rabbal alamin.
DATUK SERI CHAIRUL ANHAR Besan kepada Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan presiden Indonesian Diaspora Network di Malaysia.