Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamid mengecam penulis blog Shahbudin Husin kerana menjadikan majlis perkahwinan anaknya di Indonesia sebuah isu.
Beliau berharap tuhan akan menghukum Shahbudin ekoran tulisan dalam blog pada 20 September lalu itu.
"Saya harap Tuhan akan menghukum dia bila anak perempuan atau anak lelakinya berkahwin satu hari nanti.
“Di mana ada neraka...," kata Zahid yang kemudiannya menghentikan percakapan sebentar dan ketawa.
"Sudah, sudahlah, cukuplah...," kata Zahid yang tersenyum dan kemudiannya disambut ketawa hadirin dalam sidang media itu.
Sebelum itu Zahid memberi penjelasan berhubung persoalan yang dibangkitkan oleh Shahbudin berkaitan kehadirannya dalam majlis perkahwinan anak lelakinya sewaktu lawatan rasminya di Indonesia bulan lalu.
"Saya harap Shahbudin Husin yang mengenali saya sejak tahun 1987. Jangan main dengan perkataan dengan menyoal dan menyuruh saya menjelaskannya.
"Dia patut jumpa saya untuk (mendapatkan) penjelasan. Kenapa perlu dia tanya saya supaya menjelaskan kepada umum, sebab saya tak guna atau salah guna dana awam," katanya.
Menulis dalam blognya semalam, Shahbudin berkata beliau dipanggil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) kelmarin untuk memberi keterangan berhubung tulisannya bertajuk "Kenapa lawatan rasmi Zahid ke Indonesia sama tarikh dengan majlis sanding anaknya di Jakarta?".
Shahbudin antara lain bertanya berkaitan tarikh majlis perkahwinan itu diadakan kebetulan dengan lawatan rasminya, jumlah perbelanjaan dan pegawai serta tetamu Malaysia yang hadir.