Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Penari Bilqis Hijjas yang dituduh menghina dengan menjatuhkan belon kuning dalam acara dihadiri perdana menteri, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini.

“Dia putuskan untuk lawan kes ini kerana dia tidak lakukan apa-apa kesalahan,” kata peguamnya Michelle Yesudas kepada pemberita selepas prosiding mahkamah.

Hakim Nur Azura Murah menetapkan jaminan RM500. Pengurusan kes akan dibuat pada 26 Oktober ini.

Bapa tertuduh, Hijjas Kasturi, yang juga seorang jurutera terkenal, bertindak sebagai penjamin untuk Bilqis yang kini popular dengan gelaran “Gadis Belon”.

Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah turut hadir ke mahkamah bagi memberi sokongan kepada Bilqis, 35.

Pada Hari Merdeka 31 Ogos lalu, tujuh belon kuning dilepaskan di pusat membeli belah Pavilion di ibu negara dalam acara dihadiri Najib dan isterinya Rosmah Mansor.

Ia dilepaskan ketika Najib menonton persembahan tarian pembukaan acara DiverseCity 2015: Festival Kesenian Antarabangsa Kuala Lumpur.

Belon yang dilepaskan itu antaranya tertulis perkataan "democracy", "justice", "free media" yang kemudian dipecahkan oleh pengawal keselamatan.

Najib dan Rosmah tidak menunjukkan sebarang reaksi kerana tidak menyedari insiden itu berlaku.

Lautan manusia menyertai perhimpunan BERSIH 4 yang berlangsung selama 34 jam di Dataran Merdeka pada Sabtu dan Ahad menjelang Hari Merdeka.

Mereka mendesak Najib melepaskan jawatannya ekoran pelbagai masalah yang dihadapi negara selain dakwaan skandal melibatkannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS